PENDAHULUAN
Pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t sebagai teras
utamanya adalah mencerminkan arah dan halatuju yang kukuh dan konsisten kerana ia merupakan sumber cahaya yang menyinari kesemua
prinsip-prinsip Islam Hadhari yang lainnya.
Ia merupakan perwujudan fitrah semulajadi manusia dan anugerah khusus yang diberikan oleh
Tuhan Yang Maha Esa kepada umat manusia.
Keimanan dan ketakwaan kepada Allah dalam pengertian yang luas dan padu adalah asas dan syarat
mutlak bagi satu-satu kaum, jika ia ingin memperolehi kejayaan hidup dan kecemerlangan di dunia dan
di akhirat, hakikat ini dinyatakan oleh Allah dalam firmannya bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu, benar-benar beriman dan bertakwa (kepada Allah), tentulah kami (Allah)
akan membuka kepada mereka keberkatan hidup yang melimpah ruah, samada dari langit mahupun dari bumi” (al-a’raf:96).
Maksud yang sama juga ditegaskan oleh Allah di ayat lain bermaksud: “Ketahuilah bahawa
wali-wali Allah (yang sebenar) mereka tiada ditimpa rasa takut dan kesusahan hati; mereka itu adalah orang-orang beriman dan
bertakwa (kepada Allah), mereka itulah yang memiliki kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat” (yunus:62). Beriman sebenar bukan hanya kepercayaan dalaman tetapi perlu disertakan usaha dan kerja yang bersungguh-sungguh,
disamping mematuhi dan memenuhi semua perintah Yang Maha Kuasa.
Negara yang ahlinya beriman dan bertakwa adalah negara yang memberi keutamaan dan penekanan
kepada lima perkara penting yang disebut oleh Ulama sebagai maqaasid al-shari’ah, iaitu:
Pertama; memelihara dan memperkasakan agama dengan menjadikan nilai-nilai agama sebagai tunjang
pentadbiran dan pembangunan negara. Dan agama-agama lain tetap bebas dianuti
dan mendapat perlindungan sewajarnya sebagai menjunjung tinggi kebebasan beragama bagi setiap individu, selama mana tidak
mengganggu kestabilan dan sensitiviti umat yang lain.
Kedua; memelihara jiwa dengan menghormati hak-hak asasi umat manusia tanpa membezakan golongan,
agama, etnik dan darjat kedudukan nilai martabat kemanusiaan sebagai makhluk ciptaan Allah yang termulia. Termasuk juga menjaga maruah dan kehormatan bagi setiap individu.
Ketiga; memelihara akal dengan memberi keperluan pendidikan yang mencukupi bagi tujuan memartbatkan
ilmu pengetahuan tanpa membezakan antara ilmu agama dan ilmu dunia, atau ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Disamping mencegah semua perkara yang boleh merosakkan akal dan fungsinya.
Keempat; memelihara keturunan dengan mempertahankan norma dan institusi keluarga sebagai
tunjang pembangunan sosial yang adil dan beradab. Termasuk juga berpegang teguh
kepada nilai-nilai murni kemasyarakatan yang berlandaskan kepada akhlak mulia. Pencegahan
kepada perkara yang boleh menodai keturunan turut mendapat perhatian, seperti salah laku seks, merendahkan maruah kaum wanita
dan kedudukannya.
Kelima; memelihara harta dengan memperkasakan ekonomi umatnya melalui peningkatan kemahiran
(skills), peluang pekerjaan dan pemuliharaan alam sekitar. Pembangunan ekonomi
yang dimaksudkan mestilah diasaskan kepada sumber manusia dan sumber alam yang dimiliki.
Disamping berusaha membanteras secara berkesan perkara-perkara yang boleh membantutkan pembangunan ekonomi seperti
rasuah, penyalahgunaan kuasa, pengurusan yang tidak cekap dan pembaziran.
Berdasarkan daripada pemahaman di atas, teranglah bahawa prinsip iman dan takwa boleh menjadi
faktor utama bagi pembangunan masyarakat cemerlang menuju kepada terwujudnya peradaban gemilang dan tamadun terbilang. Tanpa prinsip ini, kemajuan tamadun yang dicapai oleh umat manusia hanyalah laksana
bangunan yang rapuh tidak mempunyai asas yang kukuh dan nilai peradaban sebenar. Tamadun
peradaban yang tidak diasaskan kepada kepercayaan dan kebaikan ianya tidak akan kekal lama dan tidak akan mendatangkan apa-apa
kebahagiaan yang berkekalan kepada umat manusia.
Oleh sebab itu, pendekatan Islam Hadhari yang dicetuskan oleh kepimpinan negara yang sedang
dikembangkan oleh Kerajaan dan masyarakat di Malaysia hari ini menetapkan prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai
prinsip pertama dan utamanya. Dan prinsip ini sewajarnya menjadi landasan kepada
prinsip-prinsip Islam Hadhari lainnya. Ia dengan sendirinya sebagai penyataan
sikap dan asas pembangunan negara yang kukuh dan jelas.
MAKNA KEIMANAN DAN KETAKWAAN KEPADA ALLAH
Keimanan bermakna kepercayaan dan pegangan hidup yang kukuh tidak hanya tersemat di hati
tetapi ia disertakan dengan ketaatan dan amalan terhadap apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah oleh Allah
s.w.t. Keimanan erat kaitannya dengan fitrah kejadian manusia sebagai makhluk
ciptaan Allah s.w.t. Itulah sebabnya, Imam Nawawi menegaskan bahawa fitrah kejadian
manusia itu adalah keimanan dan kepercayaan, ketika beliau menjelaskan hadis Rasulullah s.a.w, riwayat Imam Muslim tentang
“kelahiran bayi berasas kepada fitrahnya”. Jika fitrah bayi itu dijaga dan dididik dengan nilai-nilai mulia maka
ia akan menjadi insan yang sempurna dan baik. Maka begitulah pula sebaliknya
pendidikan, persekitaran dan ibu bapa adalah elemen penting boleh mewarnai kehidupan seseorang bayi.
Oleh yang demikian, sistem keimanan dan kepercayaan merupakan sifat semulajadi umat manusia
yang tumbuh dan berkembang hinggalah menjadi suatu pegangan hidup. Wujudnya penyimpangan
dan perbezaan keimanan ini, hanyalah disebabkan kerana faktor pemeliharaan fitrah yang terlepas dari pemeliharaan dan pentarbiahan. Sekiranya fitrah seseorang sejak lahir di dunia terjaga dengan baik, ianya akan tumbuh
menjadi keimanan atau kepercayaan atau pegangan hidupnya.
Faktor pemeliharaan dan pentarbiahan fitrah inilah yang dikaitkan dengan konsep ketakwaan. Kerana takwa adalah dari perkataan “wiqayah” yang mengandungi makna pemeliharaan
dan penjagaan. Maknanya jika keimanan diibaratkan tumbuhan maka ketakwaan itulah
baja dan siramannya.
Mengikut Hamka, keimanan bermakna kepercayaan iaitu pengakuan hati yang dibuktikan dengan
amalan perbuatan yang dilafazkan oleh lidah, akhirnya menjadi keyakinan hidup manusia.
Sementara ketakwaan, ianya mengandungi makna seperti berikut:
memelihara hubungan yang baik dengan Pencipta
memelihara diri daripada perbuatan yang tidak diredhai oleh Pencipta
memelihara dan melaksanakan segala perintah Pencipta untuk diamalkan.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa perkataan takwa itu tidak boleh diertikan dengan
makna takut, kerana hakikat ketakwaan meliputi makna amal, cinta, kasih, harap, tawakkal, redha, sabar dan sebagainya. Jadi makna ketakwaan jauh lebih luas dibandingkan dengan makna takut.
Ketakwaan adalah hasil daripada pentarbiahan keimanan melalui amal soleh. Maknanya orang yang bertakwa adalah orang yang telah teruji keimanannya sehingga mampu menjadikannya sebagai
suluh dalam kehidupannya. Jadilah ia sebagai orang bertakwa kerana dalam kehidupannya
telah terpelihara dan terhindar dari perbuatan keji malah ia sentiasa melakukan yang terbaik dan berguna dalam setiap aktivitinya.
Daripada huraian di atas, difahami bahawa keimanan dan ketakwaan dari segi konsepnya tidak
harus dipisahkan antara satu sama lain dan tidak harus dipisahkan di antara keyakinan atau kepercayaan dengan amalan baik
dan terpuji dan usaha mengupayakan manusia disamping sentiasa menolak kerja-kerja keji atau tidak bermoral samada terhadap
Penciptanya atau sesama manusia dan alam sekitarnya kerana kedua-duanya mempunyai kaitan makna yang tidak dapat difahami secara
berasingan. Kerana makna keimanan dan ketakwaan adalah saling melengkapi iaitu
kepercayaan yang menghasilkan pemeliharaan jati diri manusia. Di dalam al-Quran pun didapati firma Allah s.w.t yang menggabungkan
di antara keimanan dan ketakwaan sebagai syarat dan asas untuk mendapatkan keredhaan Allah, keselamatan hidup dan ganjaran
pahala di hari akhirat, seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sekiranya
mereka beriman dan bertakwa, pastilah ganjaran pahala di sisi Allah adalah lebih baik (bagi mereka)” (al-baqarah:103).
Kesimpulan maksud firman Allah s.w.t. di atas, secara jelas menghubungkaitkan keimanan dan
ketakwaan dan menjadikan kedua-duanya sebagai dua serangkai yang tidak dapat dipisahkan termasuk dari sudut pengertian dan
pemahamannya.
Dengan demikian, jelaslah bahawa keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t merupakan prinsip
hidup umat manusia yang mempunyai tujuan untuk memperolehi bimbingan, hidayah, pertolongan Allah s.w.t dalam membangun dan
memajukan kehidupan mereka di atas dunia ini agar mereka mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat.
Dari sudut terminologi, iman jika digunakan secara bersendirian, maka ia mengandungi makna
takwa. Begitu juga sebaliknya jika perkataan takwa diguna secara bersendirian
ianya mengandungi makna iman. Dan jika disebut dua-dua maka keduanya mengandungi
erti yang berbeza tetapi saling melengkapi.
Dalam konteks umat Islam, sudah tentu makna keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah usaha
mengaplikasikan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka. Disamping itu,
mereka memelihara kemurnian akhlak dan moral kemanusiaan serta pengiktirafan yang seadil-adilnya sesama manusia dan makhluk
seluruhnya sehingga orang yang bukan muslim pun merasa terhormat dan terjamin keselamatannya hidup bersama umat Islam.
Penampilan umat Islam yang beriman dan bertakwa sudah tentu selari dengan konsep “ummatan
wasatan” (umat yang bersikap sederhana dan moderate). Di mana umat Islam
sentiasa memberi contoh yang terbaik dan unggul dalam melaksanakan aktiviti kehidupan mereka.
Amalan dan sikap hidup mereka sentiasa mencerminkan nilai-nilai murni yang mereka percaya dan beramal dengannya.
Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang sentiasa optimistik, berfikiran terbuka
dan memiliki kekuatan jiwa dan emosi yang terkawal untuk mengerjakan yang terbaik bagi diri, keluarga, masyarakat, negara
dan makhluk sejagat. Disamping itu, mereka juga memiliki kemampuan menyaring
dan menapis semua perkara atau budaya yang bercanggah dengan norma dan nilai agamanya.
Kerana iman dan takwanya kepada Allah membimbingnya ke jalan yang lurus bagi melakukan perkara-perkara yang bermanfaat,
oleh sebab keimanan itulah menjadi sumber pelbagai kebaikan.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis, riwayat Bukhari dan Muslim;
yang bermaksud: “Keimanan itu memiliki 60 cabang kebaikan, sifat malu adalah
satu daripadanya”. Disamping rasa malu (melakukan kesalahan dan penyelewengan)
sifat kasih dan cinta kepada orang lain adalah juga bahagian yang utama daripada keimanan.
Rasulullah s.a.w pernah menerangkan bahawa: “Tidak beriman di antara
kamu melainkan ia mengasihani saudaranya sepertimana ia mencintai dirinya sendiri”
Oleh yang demikian, manusia yang memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t akan
sentiasa berkata yang benar, hormat kepada orang lain dan memperbaiki hubungan kemasyarakatannya tanpa mengira unsur keturunan
ataupun golongan dan agama, dan sentiasa berusaha tidak akan menjerumuskan diri dalam kecelakaan dan kesengsaraan.
Demikianlah makna keimanan dan ketakwaan kepada Allah menurut perspektif al-Quran, Hadis
dan Ulama Islam ia telah ditetapkan menjadi prinsip pertama kepada pendekatan Islam Hadhari yang boleh dipastikan sebagai
unsur dalaman manusia dan tindakan luaran secara sepadu yang perlu difahamai secara luas mengikut kefahaman Islam sebenar.yang
perlu difahami secara benar mengikut kefahaman Islam sebenar.
PERANAN IMAN DAN TAKWA DALAM KEHIDUPAN
Manusia adalah makhluk dwidimensi yang merangkumi kedua-dua unsur fizikal dan spiritual yang
saling lengkap-melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Akan tetapi unsur
kerohanianlah yang merupakan aspek unik dan utama yang melonjakkan martabat manusia kepada sebaik-baik kejadian.
Akal dan pemikiran manusia adalah cirri utama yang membezakannya daripada seluruh kejadian
yang lain. Ianya merupakan satu manifestasi tanggungjawab dan kepintaran untuk
mengurus dan mentadbir kejadian disekelilingnya mengikut acuan dan kemahuannya. Disamping
ia memiliki daya untuk berfikir dan menganalisis untuk mendapatkan apa yang difikirkan terbaik dan boleh mendatangkan manfaat
kepada diri dan masyarakatnya.
Walau bagaimanapun, kemampuan akal amat terhad ia hanya berkisar
di atas platform fizikal yang nyata. Di sinilah
letak peranan tubuh dan fizikal badan sebagai instrument untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi yang dicetuskan oleh akal
dan pemikiran. Kuasa akal amatlah terbatas dan tidak dapat mencapai hakikat dan
kebenaran yang mutlak, kerana instrument yang digunakan hanyalah pancaindera dan deria yang hanya dapat mengesan perkara-perkara
yang zahir dan bersifat fizikal sahaja disamping ia mudah dipengaruhi oleh persekitarannya.
Manakala, perkara-perkara yang ghaib dan di luar darinya tidak dapat ditafsirkan atau dimutlakkan kewujudannya oleh
akal manusia.
Di sinilah letak peranan iman dan takwa sangat diperlukan selaku wahana untuk mendapatkan
bimbingan ke arah membuka jalan kebenaran melalui hidayah dan taufik Ilahi.
Mengikut panduan agama, peranan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dapat difahami dan dihayati
dalam dua dimensi yang penting, iaitu:
Pertama; iman dan takwa sebagai penggerak membuka minda untuk mencari jalan yang terbaik
dalam melaksanakan tugas khalifah umat manusia bagi tujuan memakmur dan membangunkan dunia ini menjadi suatu destinasi yang
selesa dan menyenangkan untuk berbakti dan mencari keredhaan Ilahi. Disamping
itu, iman dan takwa juga dapat memberikan motivasi dan rangsangan yang kuat terhadap pembentukan peribadi dan jati diri manusia
yang unggul. Kekuatan ini bersesuaian dengan fitrah dan naluri semula jadi manusia yang amat dahagakan pengetahuan dan kepercayaan
terhadap Pencipta dan kuasa agung yang telah menjadikan alam ini dan membawa manusia ke alam kehidupan ini.
Kedua; sebagai pemelihara dan penapis iman dan takwa memberi kekebalan atau kelalian kepada
umat manusia supaya tidak mudah tergoda dan terpengaruh kepada perkara-perkara negatif yang boleh menghalang perlaksanaan
tugas khalifah di muka bumi. Kerana kehidupan yang penuh dengan cabaran seperti
hari ini, perlu dihadapi dengan persiapan mental, emosi dan ketrampilan diri yang memadai.
Iman dan takwa juga memberi kekuatan dalaman kepada manusia untuk terus berjuang dalam kehidupan ini tanpa mudah pasrah
dan bergantung kepada kemampuan orang lain. Justeru, dorongan untuk bersaing
dan berlumba dalam meraih kemajuan adalah termasuk sebahagian daripada iman yang tersemai dalam diri.
Dengan menghayati dua dimensi yang terkandung dalam prinsip keimanan dan ketakwaan ini, jelas
memberi kebebasan kepada umat manusia untuk menjalankan aktiviti pembangunan yang akan membawa kepada kemajuan yang berasas
kepada keadilan dan kesejahteraan semua warga masyarakat yang dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t yang dikenali dalam Islam sebagai
konsep negara yang maju, makmur dan mendapat keampunan Ilahi.
Ada empat perkara penting yang dihasilkan oleh prinsip keimanan dan ketakwaan kepada Allah
s.w.t jika dihayati secara benar, iaitu:.
Pertama; menjadikan manusia bebas tidak dikongkong oleh kuasa lain selain daripada Allah
Yang Maha Esa. Akal fikirannya pula terbuka luas, bebas daripada belenggu khayalan
dan khurafat. Hatinya merasa lapang tidak terikat dengan rasa rendah diri dan
hina-dina. Termasuk emosinya akan terkawal kerana ia merasa berserah diri kepada
Yang Maha Kuasa setelah melaksanakan segala usaha dan upaya yang ada padanya.
Kedua; membentuk sahsiah seimbang yang tercermin dari tingkah laku dan cara berfikirnya.
Hasrat kehidupannya menuntut keredhaan Allah s.w.t terserlah ke arah kebaikan
dunia dan akhirat. Manhaj kehidupannya diasaskan kepada cinta kasih dan hormat-menghormati
kepada sesama manusia dan alam sekitarnya.
Ketiga; melahirkan rasa ketenangan dalam hidupnya.
Menutup pintu rasa takut dan khuatir, samada pada diri dan keluarganya, begitu juga terhadap rezeki dan kematian. Kerana ianya telah bergantung sepenuhnya kepada rahmat dan hidayah Tuhannya. Aktiviti hidupnya dijalankan dengan penuh keikhlasan dan pengharapan akan redha Tuhannya,
kerana semua amal kerja yang dilakukannya telah diniatkan sebagai sebahagian daripada tugas ibadah dan khalifah di muka bumi.
Keempat; membangunkan potensi diri dan kekuatan jiwa yang dibina di atas usaha dan yakin
kepada Allah s.w.t. Dengan demikian ia menikmati kehidupannya dengan penuh kepuasan
kepada Tuhannya. Rasa optimis dengan bimbingan Tuhannya sentiasa membangkitkan
semangat untuk beramal, beribadah sesuai dengan fungsi dan peranannya hidup di dunia ini.
Daripada huraian ringkas di atas, ia menunjukkan bahawa penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan
akan memberi makna hidup yang sebenar kepada setiap manusia yang memilikinya dan seterusnya membangunkan umat yang bermoral
dan berakhlak mulia, membangunkan tamadun yang kukuh dan bernilai.
Penghayatan nilai keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t akan memberi kekuatan kerohanian
dan moral kepada masyarakat. Ia boleh menjadi penunjuk dalam merealisasikan risalah
hidup mereka di dunia ini, untuk mengambil bahagian dalam membangunkan tamadun dunia mengikut kepakaran dan kemahiran masing-masing.
Allah s.w.t menjanjikan bahawa menghayati nilai keimanan dan ketakwaan akan memberi kemudahan
mendapat rahmat yang berlipat ganda dan memperolehi petunjuk dalam kehidupan dunia serta akan menerima ganjaran kelak di kemudian
hari. Firman Allah bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah
kepada Allah s.w.t dan berimanlah kepada RasulNya, pasti (Allah) memberikan dua kali ganda daripada rahmatNYA dan menjadikan
bagi kamu cahaya untuk kamu pakai berjalan (hidup di atas bumi) dan Dia akan mengampuni kamu.
Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Hadid:28).
IMAN DAN TAKWA MEMBENTUK MANUSIA MULIA DAN BERUPAYA
Iman dan takwa bertujuan untuk melahirkan manusia sejati yang boleh diertikan sebagai seorang
yang baik, bukan sahaja taat dan patuh kepada Allah s.w.t sebagai Pencipta manusia, malah ia dapat mentadbir dan memelihara
keseimbangan dan keharmonian kejadian dan alam
di sekelilingnya.
Manusia yang beriman dan bertakwa akan memiliki persepsi dan pandangan yang seimbang, bukan
hanya tertumpu kepada dirinya sahaja sebagai individu, malah ia turut merangkumi pelbagai peringkat hubungan, antaranya:
Hubungannya dengan Tuhan
Hubungannya dengan masyarakat sekeliling
Hubungannya dengan alam sekitar
Hubungannya dengan diri sendiri
Allah s.w.t menegaskan dalam firmanNya bermaksud “kepentingan manusia berpegang kepada
iman dan takwa disamping melakukan perkara-perkara yang baik dan mencegah kemungkaran sebagai salah satu ciri penting umat
yang berjaya dan terbaik. Ia bukan sahaja tertentu kepada perkara-perkara berkaitan
agama sahaja, bahkan meliputi keseluruhan aspek kehidupan dan pergaulan sesama manusia tanpa mengira batasan agama, bangsa
dan negara” (Ali Imran:110).
Iman dan takwa menjana sifat-sifat terpuji seperti tanggungjawab, amanah, jujur dan ikhlas. Semua sifat-sifat ini menjadi asas utama menjana kemuliaan dan keharmonian umat manusia.
Seorang yang beriman dan bertakwa akan menyedari bahawa terdapat satu kuasa agung yang sentiasa
memerhatikan segala gerak-geri dan perbuatannya untuk dinilai dan dipersoalkan kelak.
Oleh itu, setiap perbuatan perlu dilakukan dengan penuh hati-hati dan jujur.
Seseorang yang memiliki iman dan takwa sentiasa berwaspada dan sedar akan tanggungjawab dan peranan yang harus dilakukannya.
Inilah intipati dan kesan daripada penghayatan terhadap konsep “ihsan” yang merupakan
antara peringkat iman yang tertinggi. Ibarat seorang pekerja yang sentiasa diperhatikan
oleh majikannya dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan segala tugas dan tanggungjawab yang diberi dapat dilaksanakan
dengan sebaik-baiknya. Jika terdapat sebarang kesilapan ataupun kesalahan, ia
akan disusuli oleh pengakuan dan perjanjian untuk tidak mengulangi perbuatan sedemikian di masa akan datang.
Iman dan takwa juga menyumbang ke arah kestabilan dan kekuatan rohani, emosi dan mental serta
memberikan makna dan hala tuju yang jelas terhadap tujuan kehidupan manusia di dunia ini.
Agama mengajarkan bahawa manusia sebenarnya adalah makhluk kejadian allah s.w.t yang telah dimartabatkannya sebagai
sebaik-baik kejadian di dunia ini. Ia dilahirkan ke dunia ini khusus sebagai
hamba dan khalifah Allah. Dunia menjadi medan ujian untuk menilai kebolehan dan
keupayaan manusia mentadbir dan berbakti kepada Allah s.w.t menerusi interaksi sesama manusia dan alam sekitarnya. Setelah itu, segala amalan dan perlakuan manusia akan dinilai dan diberikan balasan yang setimpal di akhirat
kelak.
Seorang insan yang memahami tujuan wujudnya kehidupan ini akan mendapat satu kekuatan dan
kuasa yang memberikan motivasi untuk beramal dan berusaha dengan gigih di dunia ini sebagai landasan ke satu alam lain yang
abadi. Semua amalan dan perbuatan yang dilakukan akan disesuaikan dengan matlamat
mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Sekiranya berlaku suatu ujian atau cubaan
yang memerlukan pengorbanan baik dalam bentuk harta, nyawa dan emosi, ia akan sentiasa menerimanya dengan sikap yang terbuka
dan positif.
Iman dan takwa juga meruntuhkan ego dan nilai-nilai negatif dalam kehidupan serta menimbulkan
sifat-sifat positif seperti gigih bekerja keras, menjalin hubungan baik sesama manusia, bercita-cita tinggi untuk mencari
kebahagiaan kerana orang yang beriman dan bertakwa akan merasakan bahawa dirinya hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada
skima kejadian dan kewujudan di alam semesta ini yang berkait rapat dan saling memerlukan antara satu sama lain. Tanpa pertolongan daripada individu lain dan alam persekitarannya, dirinya tidak akan mampu menjalani kehidupannya
dengan teratur dan lebih selesa. Dengan demikian orang beriman dan bertakwa merasakan
dirinya amat kerdil sekali jika dibandingkan dengan kejadian-kejadian yang lain.
Manusia yang memiliki iman dan takwa sentiasa terdorong untuk berusaha dengan gigih bagi
mencapai kejayaan dalam segenap aspek perbuatan dan perlakuannya sehingga terbentuk di dalam dirinya satu disiplin moral dan
pegangan positif yang selalunya mengajak ke arah nilai-nilai yang mulia dan terpuji.
Oleh itu, orang beriman dan bertakwa akan dikenali sebagai orang yang berbudi
pekerti mulia dan dihormati.
Penghayatan yang sebenar terhadap konsep iman dan takwa ini mampu mengurangkan masalah akhlak
dan moral masyarakat akibat tidak berpegang teguh kepada agama dan hanya berlandaskan hidup kepada pertimbangan fizikal dan
material semata-mata.
Iman dan takwa menanamkan sikap bertolak-ansur, hormat-menghormati serta toleransi yang tinggi
sesama manusia dan terhadap alam sekeliling.
Hakikat ini dapat dilihat dari aspek hubungan antara seseorang individu dengan manusia dan
alam sekelilingnya. Orang yang beriman dan bertakwa pastinya akan mengamalkan
sikap toleransi, bekerjasama dan tolong-menolong sesama insan tanpa mengira batasan agama, bangsa dan sebagainya. Disamping membantu memastikan keseimbangan dan keharmonian hubungannya dengan dunia persekitarannya, mereka bergaul sesama manusia dan alam sekitar dengan sebaik-baik pergaulan tanpa mengira
perbezaan bangsa, agama dan bahasa. Apatalah lagi jika mereka tinggal bersama-sama
di dalam sebuah negara yang memerlukan mereka berkerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain kerana konsep tolong-menolong
dalam perkara kebaikan dan membenci perkara mungkar adalah di antara teras utama bagi
iman dan takwa.
Mereka juga mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap penguasaan ilmu pengetahuan dan kepentingannya
sebagai alat untuk mendapatkan kejayaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat kerana penguasaan ilmu pengetahuan merupakan
sebagai salah satu medium untuk mencari dan mendapatkan kebenaran dan kejayaan di dunia dan akhirat.
Penguasaan Teknologi dan pemilikan ilmu bukan sahaja berkaitan dengan amalan keagamaan tetapi
juga yang bersangkut-paut dengan kehidupan di dunia kerana penguasaan ilmu pengetahuan merupakan faktor yang menentukan kejayaan
dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu pengetahuan seperti firmanNya yang
bermaksud: “Allah mengangkat darjat dan kedudukan orang beriman dan berilmu”
dan firmanNya lagi yang bermaksud: “adakah sama nilai kerja orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, jawabnya
tentu tidak” kerana kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara bersepadu boleh menjadikan sesebuah masyarakat itu memiliki
kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa. Ini bertujuan supaya kecemerlangang
intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Perkara ini menjadi penting bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis.
IMAN DAN TAKWA KAITANNYA DENGAN ORANG BUKAN ISLAM
Di Malaysia, agama Islam telah ditentukan sebagai agama rasmi negara melalui Perlembagaan
Persekutuan. Walau bagaimanapun, rakyat bebas menganut dan mengamalkan agama
masing-masing. Toleransi agama seperti ini merupakan satu pendekatan keagamaan
yang didorong oleh rasa iman dan takwa umat Islam. Ia telahpun diterjemahkan
dalam kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. Beliau juga memberi ruang kepada penganut
agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman di Kota Madinah.
Kedudukan orang-orang bukan Islam yang tidak terjejas hak mereka, dapat dilihat dengan lebih
jauh dalam amalan Baginda, khususnya dalam Perlembagaan Madinah. Dokumen ini
merupakan bukti konkrit di mana orang-orang Islam dan bukan Islam hidup bersama-sama dan masing-masing menikmati hak mereka,
sungguhpun orang-orang Islam kuat pegangan agama mereka. Malah penghayatan mereka
kepada iman dan takwa mendorong mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap semua anggota masyarakat termasuk yang bukan
Islam.
Iman dan takwa sama sekali tidak menghalang kewujudan bersama orang-orang bukan Islam di
kalangan masyarakat Islam. Al-Quran dengan jelas mengiktiraf hakikat kewujudan
masyarakat majmuk dalam sesebuah masyarakat. Malah konsep kongsi kuasa sepertimana
amalan Malaysia adalah tidak bercanggah dengan nilai iman dan takwa yang menjadi pegangan kepercayaan umat Islam. Justeru itu, ianya memberi impak yang cukup besar di mana hampir tiada kacau bilau mahupun pertelingkahan
yang timbul akibat daripada salah faham agama.
Kewujudan berbagai-bagai bangsa dan agama dapat dilihat umpamanya menerusi konsep kebebasan
beragama yang diberi jaminan dalam Islam. Orang-orang bukan Islam adalah bebas
untuk menganut apa-apa kepercayaan yang dikehendaki dan tidak ada paksaan dalam memilih agama, walaupun orang-orang Islam
dikehendaki menjalankan kewajipan berdakwah. Al-Quran sendiri menegaskan semua
manusia perlu diberi penghormatan dan kejadian mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan puak adalah bertujuan semata-mata
supaya mereka saling mengenali , bermuafakat dan bukan untuk membenci di antara satu sama lain.
Sebenarnya dengan asas iman dan takwa, umat Islam memiliki tanggungjawab keagamaan untuk
melindungi nyawa, harta dan kehormatan orang-orang bukan Islam. Adalah kewajipan
umat Islam agar berbuat baik dan bersahabat dengan orang bukan Islam yang tidak memusuhi agama Islam dan umat Islam (Quran,
60:8-9). Nabi Muhammad s.a.w telah memberi amaran kepada orang-orang Islam agar
tidak menzalimi dan melakukan penganiayaan terhadap orang-orang bukan Islam. Malah
penganiayaan yang terjadi dianggap sebagai menyakiti Allah s.w.t dan RasulNya.
Seseorang yang memiliki iman dan takwa akan melihat sesama manusia sebagai kejadian Allah
s.w.t yang mulia tanpa memberi justifikasi darjat seseorang mengikut agama dan bangsanya.
Ia memberi pertolongan dan pergaulan yang baik kepada semua, tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Malah orang yang beriman dan bertakwa sentiasa menjadikan dirinya sebagai cermin dimasyarakatnya dan memberi
contoh yang terbaik dalam pergaulan dan muamalah.
Rasulullah s.a.w mengisyaratkan bahawa bukan dari orang yang beriman dan bertakwa jika seseorang
itu memiliki sifat suka menuduh yang bukan-bukan, suka melaknat orang, lidahnya kotor dan hatinya busuk (al-Hadis).
IMAN DAN TAKWA MENJANA MODAL INSAN
Pembangunan sumber manusia yang dikenali juga sebagai modal insan merupakan agenda yang sangat
penting dan harus diberi penekanan.
Ini berteraskan kepentingannya yang menentukan prestasi, kemajuan, pembangunan, pemodenan
dan tamadun sesebuah masyarakat yang bertunjangkan agama.
Iman dan takwa mempunyai peranan penting dalam melahirkan sumber manusia yang unggul berakhlak
dan bermoral. Ia merupakan satu kekuatan yang tercetus dalam diri seseorang yang hati nurani, akal budi dan seluruh peribadinya
sudah diresapi, dibentuk dan dikuasai sepenuhnya oleh nilai-nilai murni keagamaan sehingga seluruh tindakannya dikendali,
dipandu dan ditunjuk oleh kepercayaan yang meresap dalam hati sanubarinya. Dari
sanalah terpancar sinar yang membangkitkan untuk beramal dan berusaha dengan kuat untuk membangunkan diri, masyarakat dan
negaranya.
Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang mudah menerima kebenaran dan mampu
mempertahankannya dan menyebarkannya kepada orang lain, baik melalui pengajaran dan pendidikan mahupun melalui suri tauladan
yang terlihat dalam amalan hariannya. Oleh itu, iman dan takwa merupakan nadi
penggerak pembangunan insan yang dapat menghasilkan sumber manusia yang berkebolehan dan berupaya dalam melaksanakan pembangunan
tamadun yang dicita-citakan.
Konsep “Ibadu Rahman” (hamba Allah), dalam al-Quran adalah elemen penting menjana
model sumber manusia yang unggul yang menjadi idaman setiap masyarakat membangun. Di
antara ciri-ciri manusia ibadu rahman, ialah:
Hidup sederhana, tidak membazir dalam kehidupannya.
Sopan-santun dalam pergaulan dan berkomunikasi
Mentaati segala perintah Tuhannya
Memiliki rasa pertimbangan yang adil dan saksama
Tidak membazir dalam menggunakan rezeki yang dimilikinya
Menjauhi perkara yang membawa kepada kederhakaan seperti ingkar kebaikan, pembaziran dan;
Tidak bersekongkol dengan usaha dan perkara mungkar serta tidak terpengaruh dengan budaya
negatif sekeliling.
Menjaga dan memelihara kerukunan rumahtangga, menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang
lebih muda.
Menjaga hak dan maruahnya disamping menghormati hak-hak orang lain.
Dengan demikian, jelaslah akan kepentingan iman dan takwa dalam rangka pendidikan dan pembangunan
sumber manusia. Sebab pembangunan sumber manusia adalah asas utama dalam membangunkan
tamadun dan peradaban dunia pada masa silam, kini dan akan datang.
KESIMPULAN
Meletakkan keimanan dan ketakwaan sebagai teras utamanya pendekatan Islam Hadhari adalah
asas yang kukuh dan konsisten bagi menerangi pembangunan manusia dan hala tuju negara ini merupakan satu kesimpulan yang tepat
dan praktikal.
Pendekatan Islam Hadhari yang disinari oleh iman dan takwa akan menjana umat yang berupaya
dan bermoral mulia, bersungguh-sungguh didalam tugas dan tanggungjawab dengan gigih, amanah dan berkualiti.
Manusia yang beriman dan bertakwa sentiasa berusaha melakukan perkara-perkara terbaik dan
menjauhi yang mungkar. Ia tidak memisahkan diri dari masyarakat tanpa mengira
batasan agama, budaya, bangsa dan bahasa.
Menerusi interaksi dan kerjasama yang tidak terbatas bagi membangunkan tamadun manusia yang
kukuh dan bernilai hormat-menghormati di antara satu sama lain kerana matlamat dari seluruh aktivitinya samada bersifat spritual
dan fizikal bagi mencari rahmat Tuhannya serta kedamaian dan keharmonian hidup di dunia dan akhirat.