Islam Hadhari melihat pertahanan bukan sahaja isu-isu yang meliputi kekuatan ketenteraan
dan persenjataan, malah ia merangkumi kekuatan diri, fizikal dan spritual. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam al-qur’an
surah al-Anfal: 60 maksudnya:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan
yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk mengerunkan dengan persediaan itu musuh
Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahui nya; sedang Allah mengetahuinya. Dan
apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasanya kepada kamu,dan kamu tidak akan dianiayai”.
Bangsa yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara dari dicerobohi.
Untuk itu mereka perlu memiliki kekuatan ketenteraan yang terkini bagi tujuan mempertahankan diri dan negara dan bukan untuk
menyerang dan menguasai bangsa dan negara lain.
Kekuatan pertahanan akan menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan negara yang membolehkan
proses pembangunan dilakukan secara berterusan.
Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan
serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan dan keupayaan mempertahankan
diri. Negara perlu diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab
membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Pendekatan Islam Hadhari akan berusaha memperkasakan umat supaya mereka
berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.