Kehidupan manusia tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga hubungan
manusia dengan alam persekitaran. Kesejahteraan yang dinikmati oleh manusia adalah akibat daripada kehidupan yang sejahtera
antara sesama manusia dengan alam tabii. Dalam proses pembangunan, manusia mempunyai kecenderungan untuk menguasai dan mengekploitasi
alam tabii secara berlebihan dengan menggunakan sains dan teknologi. Natijahnya, keseimbangan alam semula jadi tidak dapat
dikekalkan. Peristiwa tanah runtuh, banjir kilat, pemanasan global, ribut taufan, hujan asid, pencemaran udara, air dan darat,
kepupusan tanaman, habitat dan sebagainya semuanya menyumbang kepada ketidakstabilan eko-sistem yang dilakukan oleh aktiviti
manusia.
Di peringkat antarabangsa beberapa deklarasi mengenai alam sekitar telah pun dilaksanakan
oleh UNDP untuk memastikan pembangunan yang lestari. Deklarasi Reo De Janerio (1993) dan Protokol Kyoto (1997) merupakan antara
dua deklarasi di mana Malaysia turut menandatanganinya. Malaysia sendiri telah mengadakan
Deklarasi Langkawi untuk memastikan pembangunan negara secara lestari dan mesra alam.
Untuk mengatasi semua ini alam sekitar perlu ditadbir urus melalui kaedah dan pendekatan
yang lebih seimbang dan menyeluruh. Pembangunan insan yang berteraskan kepada kehidupan yang berteraskan nilai-nilai murni
agama, bertanggungjawab dengan alam, membangun alam secara terancang perlulah diberi penekanan yang bersungguh-sungguh. Pembangunan
sains dan teknologi yang berteraskan kepada ajaran agama dan nilai budaya perlu diterapkan kepada seluruh peringkat masyarakat.
Penyelidikan dan pemantauan terhadap alam tabii perlu dilakukan secara berterusan agar pembangunan yang dijalankan tidak mendatangkan
risiko yang tinggi kepada kehidupan sejagat.
Adalah menjadi pendekatan Islam Hadhari agar kehidupan manusia menjadi harmoni dengan alam
sekitar dan persekitarannya disamping berusaha untuk terus maju.
:: Kembali Ke Portal Islam Hadhari ::