Penguasaan Ilmu Pengetahuan

:: UTAMA ::
:: GURU - GURU ::
:: ORGANISASI ::
:: AHLI - AHLI ::
:: ISLAM HADHARI ::
:: AKTIVITI ::
:: e-HALAL ::
:: ARTIKEL ::
:: e-TV ::
>>> Garis Panduan HALAL
>>>Miracles & Truth Of The Qur'an.
>>> Garis Panduan Bedah Siasat
>>> Garis Panduan Ibadah Di Angkasa
:: HIPER RANGKAI ::

Penjelasan Prinsip Islam Hadhari Keempat.

PENDAHULUAN

Penguasaan ilmu pengetahuan dan pendekatan integratif dalam pendidikan banyak dibicarakan orang. Ianya bukan saja menuntut pemerincian tetapi juga kejelasan kandungan dan juga proses aplikasinya. Kemajuan dan pembangunan sesuatu negara banyak bergantung kepada jenis manusia atau modal insane yang dilahirkan oleh sistem pendidikannya.

 

Dalam konteks pendidikan integratif bukan saja kandungan ilmu perlu diperkukuhkan kembali tetapi juga metodologi pengajaran-pembelajarannya memerlukan tinjauan yang serius. Ilmu yang berasaskan nilai-nilai agama dan nilai-nilai etika perlu diperkukuhkan seiring dengan fokus terhadap merit akademik, sains dan teknologi supaya integrasi antara keduanya menyumbang ke arah penyuburan kualiti holistik pada diri pelajar.

 

Mendepani globalisasi memerlukan ide-ide ketamadunan berasaskan nilai-nilai agama , falsafah dan tradisi kepercayaan yang bermenfaat supaya kekuatan akhlak dan etika dapat dibina berasaskan acuan kita sendiri. Pendekatan ‘kesalingan’ atau ‘litaarrafu’ yang diungkapkan oleh al Quran (al hujurat :13) memberikan perspektif yang amat menarik tentang muafakat dan perkongsian nilai-nilai baik dan berguna. Dalam konteks masyarakat berbilang saripati nilai yang baik amat perlu diadunkan supaya pembangunan dan perubahan yang berlaku di Malaysia mendukung ide-idea ketamadunan tinggi

bagi membentuk negara maju berasaskan acuan ke Malaysiaan. Pemikiran hadhari atau ketamadunan amat perlu diterapkan supaya perspektif tentang pembangunan dan kemajuan ilmu sentiasa berasaskan kualiti manusia atau peribadi unggul (towering personalities) yang dilahirkan oleh sistem pendidikannya.

 

PENGUASAAN ILMU PENGETAHUAN

Islam mengutamakan  ilmu dan ianya wajib dituntut oleh lelaki dan perempuan. Ilmu adalah suluh hidup dan menguasai ilmu bakal memberi jalan kemajuan dan perubahan. Oleh itu di sisi Allah orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu statusnya tidak sama (maksud Surah al Zumar : 8) .

 

Kekuatan tamadun Islam pada masa yang lalu berpunca antara lainnya ialah penerokaan dan penguasaan ilmu pengetahuan. Para ilmuan dan ulama’ Islam menguasai pelbagai bidang ilmu, merentasi Ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem. Al Quran yang terkandung hikmah dijadikan sumber penting menguasai ilmu dan menyebabkan ilmu yang dilahirkan bermenfaat tetapi juga selari dengan syariat. Penguasaan ilmu pengetahuan dalam zaman ketamduanan Islam menyumbang kepada umat manusia. Tradisi sains Islam di Andalusia menyebabkan Barat berlumba-luma menterjemahkan kitab-kitab besar sains, matematik, perubatan, musik, falsafah dan lain-lain ke dalam Bahasa Latin dan Ibrani dan menyebabkan Barat terhutang ilmu kepada umat Islam. Darinya Barat mula mengorak kemajuan dan lahirlah tradisi ilmu dan perubahan di Barat dan kemudiannya memberi kesan kepada umat manusia. Kitab-kitab besar Islam ini digunakan di Barat atau Eropah lebih lima ratus tahun bagi mencetuskan revolusi ilmu di sana.

Penguasaan ilmu pengetahuan bersumberkan hikmah (al Quran) terbukti mengangkat martabat umat. Apabila faktor hikmah mula dilupakan, kemajuan berfikir sudah hilang dayanya, krisis ulama-umara’ mula berlaku, tradisi pengkaryaan mula kuncup, tamadun Islam mula meleset dan kebangkita kuasa Eropah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi kerana minat besar mereka untuk menguasai ilmu pengetahuan.

 

Kebangunan Zaman Pertengahan, Reformasi yang berjalan, ‘Renaissance” yang berlaku dan ledakan Revolusi Industri yang terjadi menyebabkan Kuasa-Kuasa Barat mula melebarkan sayap penjajahannya ke seluruh dunia dan menguasai dunia Islam. Tempoh yang begitu lama umat Islam di jajah menyebabkan mereka di pinggirkan dalam arus perkembangan ilmu dan umat Islam umumnya mendekati Ilmu Mengurus Diri dan mula mengabaikan Ilmu Mengurus Sistem. Akibatnya mereka terus di jajah, malah selepas mencapai kemerdekaan pun orientasi pengilmuan dan pendidikan banyak berorientasikan Barat di mana ilmu tidak lagi bertatahkan nilai dan akhirnya ilmu menjadi sekular dan dualistik.

 

Dalam konteks negara Malaysia, pembangunan ilmu dan pendidikan menjadi metlamat dalam pembangunan dasar pendidikannya sejak kemerdekaan di capai. Pengenalan subjek Agama Islam di mulakan sejak Akta Pelajaran 1961 di laksanakan. Perkembangan subjek-subjek dalam orientasi Malaysia dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mula menjadi keutamaan. Sekitar tahun-tahun 80an orientasi pengilmuan dan pendidikan di Malaysia menempa orintasi baru di mana faktor pendidikan agama menjadi faktor yang penting dan pendekatan sepadu dalam pendidikan menjadi asas utama membangunkan peribadi modal insan yang holistik. Pengenalan konsep Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia adalah langkah menarik bagaimana proses pengilmuan dan pendidikan harus berjalan secara integratif.

 

Para pelajar tidak saja didedahkan dengan asas-asas ilmu Mengurus Diri seperti aqidah, akhlak, tilawah, loghah atau bahasa tetapi juga dengan asas-asas Quran, Hadith dan Tafsir sebagai asas membina Tasawwur yang lebih betul tentang maksud ilmu-ilmu agama. Dalam masa yang sama para pelajar di dedahkan dengan subjek-subjek yang berkaitan dengan ilmu Mengurus Sistem seperti Matematik, Sains, Perakaunan, Ekonomi, Komputer dan lain-lain bagi membolehkan mereka menguasai ilmu yang berkaitan dengan pengurusan sistem.

 

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cuba mempelopori proses integrasi dan Islamisasi ilmu dalam semua bidang ilmu pengetahuan dan ianya diikuti oleh Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan juga Kolej Universiti Islam Malaysia supaya para pelajar mempunyai pendedahan dalam penguasaan ilmu pengetahuan yang bakal membolehkan mereka masuk ke arus perdana dengan memiliki kemampuan ilmu yang seimbang dan menyumbang.

 

Proses bina insan dalam pengilmuan dan pendidikan, memerlukan pembangunan modal insan yang holistik. Ia amat perlu dibangunkan supaya metlamat bina tamadun dapat dilakukan secara sistematik. Globalisasi yang menerpa umat Islam kini memerlukan jawapan ilmu dan integrasi dan Islamisasi ilmu kini adalah jawapan terbaik terhadap faktor globalisasi. Konsep umatisasi harus menjadi metlamat utama proses pengilmuan dan pendidikan dan landasan hadhari atau ketamadunan sewajarnya menjadi tunggak dan teras membangunkan dasar keilmuan dan pendidikan negara.

 

Proses menghasilkan peribadi unggul (towering personalities) dalam konteks Acuan Sendiri hanya boleh berlangsung sekiranya kita refklektif tentang tamadun silam dan terkini dalam menangani cabaran sezaman dan karenah lingkungan. Dialog tamadun harus disuburkan supaya aspek-aspek ketamadunan yang unggul dapat dikembangkan supaya konsep “litaarafu” itu dapat dirasakan dalam membangunkan ilmu dan pendidikan yang bakal membangunkan konsep “rahmah alamiah” yang amat dituntut oleh Islam.

 

APA ITU PENDIDIKAN

 

Pendidikan ialah proses mengadabkan insan. Pada tanggapan Barat pendidikan dikaitkan dengan proses pemindahan maklumat, ketrampilan dan pengalaman dari guru kepada murid atau dari pensyarah kepada pelajar. Tradisi Islam dalam pendidikan sering menghubungkan pendidikan dengan pembangunan potensi insan. Manusia tidak hanya memiliki kekuatan akal atau minda tetapi Allah mengurniakan manusia dengan potensi rohaniah dan jasmaniah. Ketiga-tiga potensi memerlukan penyuburan yang seimbang. Memberikan fokus kepada pengupayaan akal saja tidak melengkapi sifat pembangunan diri yang menyeluruh. Membangunkan rohani dan jasmani tanpa memberikan fokus kepada akal tidak juga menepati proses pembangunan insan. Menyuburkan kualiti rohaniah, akliah dan jasmaniah secara seimbang adalah pendekatan yang amat serasi dengan proses pembangunan insan (nurturing process).

 

Fitrah manusia memerlukan nilai sebagai ukurtara mengurus diri dan sistem.

Bagi yang memiliki keteguhan beragama, nilai agama menjadi landasan mengurus diri dan sistem. Bagi yang berpedomankan nilai-nilai tradisi dan nilai-nilai semasa aspek etika adalah amat penting. Ianya amat releven dalam masyarakat yang berbilang kerana kecenderungan berinteraksi antara kaum yang berbilang adalah aktif. Tanpa adanya asas nilai dan etika yang memberikan pedoman dan batasan, dinamika sosial tidak akan wujud secara positif.

 

Pendidikan dalam perspektif Islam mengambil kira faktor pembentukan insan dan juga faktor pembangunan sistem. Oleh kerana sifat sistem dinamik berubah, jenis kurikulum dan metodologi pendidikan juga harus mengalami perubahan. Tetapi perubahan dalam pendidikan tetap mengekalkan asas-asas yang fundamental supaya sifat ilmunya berkembang dan mampu menyusuri zaman . Ia menuntut upaya reflektif yang tinggi disamping daya kreatif yang hebat supaya antara faktor tradisi dan kemodenan atau perubahan terdapat titik-temu yang sifatnya sezaman dan mampu mencetuskan ide-idea baru dan metolodologi yang sifatnya mewakili.

 

APA ITU ILMU

 

Asas ilmu yang diperlukan oleh manusia ialah dua, iaitu ilmu Mengurus Diri dan ilmu Mengurus Sistem. Allah SWT menjadikan insan sebagai suatu unit sistem yang mempunyai hikmah dan peranannya sendiri. Allah kurniakan insan dengan hati dan nafs disamping faktor-faktor inderawi yang berfungsi mentadbir urus diri. Faktor nafs dan hati terkait erat dengan faktor diri yang menghasilkan bawaan dan sifat diri. Sifat baik, amanah, adil, jujur, ikhlas dan lain-lain adalah sifat-sifat hati yang ada pada diri.

 

Sekiranya tunjangan nafsu itu adalah faktor mutmainnah sifat diri akan lebih jernih. Sekiranya faktor mahmudah atau terpuji lebih menguasai diri, sifat manusia akan menyumbang ke arah kebaikan. Sebab itu proses mendidik Rasulullah SAW sebagai insan contoh banyak bertumpu kepada pembangunan diri. Rasulullah SAW menyebutkan bahawa generasi yang terbina pada zamannya adalah generasi terbaik merujuk kepada kualiti pengurusan diri berasaskan aqidah yang mantap, akhlak yang tinggi dan jihad yang hebat.

 

Manusia juga memerlukan jenis ilmu yang menyumbang ke arah pengurusan sistem. Manusia dijadikan dengan sifatnya berpasang-pasang, berbangsa-bangsa, berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara. Baik berkeluarga, bermasyarakat, bernegara berkait rapat dengan sistem. Manusia pastinya memerlukan ilmu dan ketrampilan bagaimana sistem harus diuruskan dengan amanah dan baik. Sifat amanah dan baik adalah nilai-nilai yang amat diperlukan oleh manusia.

 

Walaupun Allah kurniakan manusia hati dan nafs, akal dan pancaindera namun kemampuan anugerah Allah itu tidak segala-gala. Manusia memiliki keterbatasan dalam kemampuan dan keupayaan  memahami erti diri, erti persekitaran dan erti faktor-faktor ghaibiyyat yang ada dalam sistem kepercayaannya. Manusia memerlukan pedoman dari Allah SWT yang mencipta dan memiliki alam ini. Tanpa pedoman dan pertunjuk tidak mungkin

manusia mampu memahami makna kejadian dan hikmah disebaliknya.

 

Oleh itu ilmu dari Allah SWT dengan kekuatan yang ada pada manusia membolehkan manusia tahu letak dirinya sebagai hamba dan khalifah, tahu menggunakan sumber ilmu iaitu al Quran, menjadikan Rasulullah sebagai model peranan dan mengurus sumber rahmah dan ni’mah sebagai amanah utama yang membekalkannya amal soleh. Oleh itu kekuatan tamadun Islam pada masa lalu ditunjangi dengan keupayaan ilmuan-pendidik menguasai ilmu Mengurus Diri dan mengkhusus ilmu Mengurus Sistem dan menyumbang kepada tamadun umat manusia khususnya Eropah. Ilmu-ilmu yang bercirikan nilai-nilai hadhari inilah yang telah menjadi bukti sejarah kebangunan Islam dan umatnya hingga Eropah terhutang ilmu kepada tamadun Islam.

 

MENGAPA PEMBANGUNAN MANUSIA PENTING

 

Pendidikan dan proses pengilmuan berkait rapat dengan proses pembangunan manusia. Manusia dibekalkan oleh Allah dengan akal untuk membolehkannya  berfikir. Dari berfikir menjadikan manusia tahu, dari tahu menjadikan manusia berpengetahuan, dari pengetahuan menjadikan manusia berilmu dan dari ilmu membolehkan manusia memiliki hikmah. Hikmahlah menjadi martabat tinggi yang membawa suluh dalam kehidupan.

 

Sejak zaman Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW, risalah kenabian berusaha membawa manusia kembali kepada fitrah. Tidak semua Nabi dan Rasul berjaya sepenuhnya mengajak manusia kembali dan kekal dalam fitrah. Tetapi Nabi Muhammad SAW berjaya membina model pembangunan manusia dan akhirnya model itu mampu menghasilkan tamadun.  Jejak-jejak tamadun silam memerlukan upaya reflektif yang tinggi supaya rasa nostalgik kepada keunggulan silam tidak menyebabkan kita alpa bahawa kita menghadapi realiti baru yang memerlukan metodologi baru dan mekanisme baru. Tetapi baru dalam pendekatan Islam tidak harus mengabaikan asas-asas yang fundamental. Faktor syariyyah, fitrah atau faktor nilai umpamanya adalah sesuatu yang amat fundamental dalam proses pembangunan manusia. Sekiranya faktor ini dikembangkan secara kreatif tanpa mengenepikan faktor-faktor yang fundamental yang fitrah sifatnya, maka corak kemajuan, pembangunan dan perubahan terus subur dan berkembang dalam ruh yang fitrah.

 

Pentingnya diri manusia dibangunkan berasaskan apa-apa sistem pun yang bakal diurus ianya bergantung rapat kepada jenis dan kualiti manusia yang ada. Sekiranya sesuatu itu asalnya tidak baik tetapi diurus. ditadbir atau dikendalikan oleh manusia yang berilmu, berketrampilan dan berakhlak, lambat laun sistem itu akan bertukar menjadi baik. Tetapi sebaik mana sistem yang telah dibangunkan dan dikendalikan oleh orang yang tidak mempunyai ilmu dan ketrampilan yang baik serta kualiti amanah yang rendah,  lambat laun sistem itu akan rosak juga kerana ianya tidak dikendalikan oleh orang yang  ahli dalam bidangnya. Sebab itu kerosakan yang berlaku dalam hidup ini berpunca dari peribadi-peribadi yang cuba menyisihkan kepentingan nilai dan akhlak dalam pengurusan diri dan sistem dan melihat kebendaan sebagai metlamat dan pengurusan sebagai kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan dan kepentingan diri.

 

Pembangunan manusia yang bakal mengendalikan pengurusan diri dan sistem bergantung kepada jenis ilmu yang ditawarkan kepadanya dan jenis pendidikan yang diberi. Sekiranya pembangunan ilmu hanya menumpu kepada keperluan akademik dan ketrampilan, fokus pengurusan hanya menumpu kepada sistem dan tidak bermula pada diri. Sebaliknya penekanan kepada pengurusan diri dijadikan keutamaan hingga berlaku kealpaan terhadap ilmu-ilmu pengurusan sistem, ianya menyebabkan ketidakupayaan menguruskan sistem dengan berkesan. Bagi menghasilkan kualiti yang seimbang, ilmu pengurusan diri dengan ilmu pengurusan sistem diintegrasikan supaya hasilnya membawa kualiti sebenar yang diperlukan oleh pembangunan negara.

 

Kerosakan dan kelemahan yang berlaku dalam sistem samada gejala negatif dalam kehidupan sosial yang semakin menjadi wabak, kecurangan dan salahlaku di banyak peringkat dalam sistem sosial, pendidikan, kewangan, hiburan malah perkembangan teknologi maklumat menyebabkan kita hilang arah akan punca terjadinya dan tidak upaya memilih jalan pulang untuk memulihkannya. Yang jelas terjadi antara lain berakibat lemahnya ilmu pengurusan dan pengawalan diri menyebabkan faktor nafsu-nafsi menjadi pertimbangan yang membawa faedah komersial saja  dan membiakkan budaya hedonistik (berpoya-poya) yang merosakkan generasi muda.

 

INTEGRASI ILMU DAN PENDIDIKAN

 

Bila disebutkan ilmu mengurus diri ianya berkait dengan bagimana hati dan nafsu yang menghasilkan niat dan tabiat, membentuk sikap dan ‘mind-set’, memandu perlakuan dan tindakan dapat disuburkan dalam keadaan mutmainnah dan mahmudah. Ianya memerlukan input rohaniah yang baik supaya terpancar peribadi yang baik dalam perlakuan dan tindakan. Contohnya pendidikan mengenai aqidah, ibadah dan akhlak bergerak seiring dalam menghasilkan kualiti diri. Pendidikan aqidah dalam ertikata yang luas membawa maksud bukan saja mendidik keyakinan yang bulat bahawa Allah itu Pencipta tetapi juga Allah Maha Berkuasa atas segala dan Maha Perkasa menguruskan alam ini. Keyakinan kental ini harus menghubungkan manusia dengan bukti kekuasaan Allah terhadap rahmah dan ni’mahnya yang dilimpahkan ke alam ini. Antara maksud limpahannya ialah untuk menfaat manusia dan makhluk. Manusia dan makhluk amat memerlukan limpahan dan rahmah dan ni’mah itu.

 

Umpamanya Allah memberikan manusia rahmah mata, telinga, hidung, tangan, kaki, akal , nafsu dan hati supaya manusia memiliki ni’mah melihat, mendengar, menghidu, bekerja, berjalan, berfikir dan merasa mengenai apa yang ada dalam diri kita dan apa yang ada di luar diri kita. Rahmah dan ni’mah diri ini datangnya dari Allah.

 

Dalam konteks aqidah apakah mata itu kita gunakan untuk melihat benda-benda yang baik atau maaruf, apakah telinga itu kita gunakan untuk mendengar benda-benda yang elok atau lagha, apakah hidung itu untuk menghidu benda-benda yang harum dan baik atau sebaliknya. Apakah tangan itu digunakan untuk membuat kerja-kerja yang berfaedah dan tidak mungkar. Apakah kaki digerakkan untuk melangkah melakukan kerja-kerja fasad atau merosakkan. Apakah akal berfikir ke arah fahsya’  hingga kufur terhadap ilmu Allah. Apakah nafsu dan hati dirangsang secara haiwani menyebabkan hilang pertimbangan dosa-pahala dan penyebab kepada kerosakan kemanusiaan. Hal ini ditanyakan kerana seluruh rahmah dan ni’mah yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah sumber amanah. Dengan amanah yang tinggi pengurusan diri harus berlaku dengan betul dan bermenafaat.

 

Kalau aqidah kita kental bahawa rahmah dan ni’mah dalam diri dan pada manusia itu datangnya dari Allah, pemenafaatannya sudah pasti dihubungkan sebagai sumber ibadah. Dan bila ibadah ini berlaku dengan pedoman akhlak yang baik, ia bakal diterima sebagai amal soleh. Amal solehlah yang bakal mengembalikan manusia kepada Tuhannya dalam keadaan yang diterima.

 

Rahmah dan ni’mah Allah juga banyak terdapat di luar diri manusia. Udara yang bertebaran, air yang mengalir dan meresap, pokok yang tumbuh, haiwan yang hidup, pertroleum dan gas yang terpendam di perut bumi, pohon-pohon yang hijau, gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi adalah antara sumber rahmah dan ni’mah yang amat kaya dikurniakan Allah. Manusia yang memiliki kekuatan dalaman dan luaran dan terbukti mampu mengurus diri memerlukan ilmu untuk mengurus persekitaran dan sistem. Tanpa udara manusia akan mati. Tanpa air manusia dan kehidupan yang lain akan dahaga. Tanpa pokok manusia tidak akan  ada sumber makanan. Tanpa haiwan yang boleh dimakan, manusia ketiadaan zat makanan. Tanpa petroleum dan gas manusia ketiadaan bahan tenaga dan bahan bakar. Tanpa gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi , akan hilang perimbangan terhadap mukabumi. Soalnya bagaimana semua itu dapat difahami oleh manusia kehadirannya tanpa menguasai ilmu-ilmu dalam menguruskan sistem.

 

Pasti rahmah dan ni’mah itu akan disalahguna atau tidak tahu untuk digunakan dengan betul. Islam dalam membangunkan tamadun menekankan kepentingan pedoman atau hudan dan pertunjuk dari yang Maha Berkuasa (SIGNS) untuk membangunkan tradisi SCIENCE supaya integrasi antara keduanya akan membawa pedoman, amanah dan perimbangan dalam memenafaatkannya.

 

Pada hakikatnya al Quran tidak hanya ditanzilkan dan bersifat  textual tetapi ianya  merojok kepada kontekstual (realiti). Pertujuk dan pedoman Allah itu tidak lahir dalam kekosongan malah al Quran membentuk watak insan supaya memiliki kualiti diri untuk mengurus diri dan sistem supaya ianya berlaku dalam konteks amanah. Malah alam ini sendiri, segala khazanah yang ada padanya, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup manusia dan kemanusiaan adalah gambaran tentang ayat-ayat Allah. Sebab itu al Quran memaparkan banyak kisah-kisah tentang kehidupan manusia pada masa lalu untuk dijadikan iktibar atau ibrah supaya kesilapan lalu jangan diulangi lagi. Sayangnya apabila manusia lari dari peringatan Allah, putus dari pedoman dan pertunjuk Allah, manusia hilang arah dan natijah akhirnya ialah mendukung kerosakan di bumi dan di langit akibat perbuatan tangan-tangan sendiri.

 

Oleh itu amat penting ilmu Mengurus Diri (fardhu ain) dan ilmu Mengurus Sistem ( fardhu kifayah) diintegrasikan kerana proses pendidikan ingin melahirkan manusia holistik supaya potensi aqliah , rohaniah dan jasmaniah dapat disuburkan secara seimbang dan harmoni. Metlamat inilah yang bakal melahirkan insan beradab.  Beradab disini merujuk kepada kemampuan melakukan disiplin minda, disiplin nafs dan hati dan juga disiplin ketangkasan. Ketiga-tiga disiplin ini memerlukan proses dan metlamat membangunkan adab insan bermula dengan membangunkan hati dan pengawalan terhadap nafs. Dalam masa yang sama pedoman wahyu bakal memandu manusia meneroka dan memahami kewujudan rahmah dan ni’mah Allah supaya lahir tradisi sains yang tauhidik dan penghasilan teknologi yang memberi menfaat kepada manusia. Sekiranya integrasi seperti ini dapat dilakukan, kualiti manusia yang bakal dilahirkan dalam sistem pendidikan bukan saja mampu mengurus diri dengan nilai-nilai yang baik tetapi dalam masa yang sama dapat mengurus sistem dan persekitarannya dengan pedoman sains dan teknologi yang bermenfaat. Inilah ciri-ciri hadhari yang boleh menjadi landasan perkembangan tamadun.

 

Ilmu Mengurus Diri yang secara tradisinya disebut sebagai ilmu fardu ain dan ilmu Mengurus Sistem yang secara tradisinya disebut sebagai ilmu fardhu kifayah adalah amat penting bagi manusia Islam dan umat manusia yang lain.

Sifat rahmah alamiah yang didukung dalam risalah kerasulan memberikan perspektif yang amat luas dalam proses pembinaan ilmu yang integratif. Pemisahan antara keduanya boleh menghasilkan pembinaan sahsiah atau personaliti yang tidak seimbang dan boleh menyebabkan peranan mereka juga menjadi pincang. Al Quran yang diturunkan kepada umat manusia menerusi Rasul Muhammad SAW adalah pedoman terbaik memandu manusia bagaimana diri harus diuruskan dan sistem patut dikendalikan. Pendidikan aqidah, adab dan akhlak yang menjadi sumber kekuatan ibadah sewajarnya menjadi ilmu utama difahami dan dihayati. Tanpanya manusia akan hilang kekuatan diri bagi mengenal hikmah kejadian, hikmah penciptaan, hikmah peranan malah hikmah rahmah dan ni’mah itu sendiri. Ilmu mengurus diri apabila mantap dalam kefahaman dan penghayatan bakal memberikan kekuatan dalaman manusia dan interaksi dengan faktor di luar dirinya akan menjadi lebih mantap.

 

Ilmu Mengurus Sistem berkait rapat bagaimana rahmah dan ni’mah Allah diurus. Semua sumber-sumber yang Allah kurniakan baik yang bersifat benda, komoditi, khidmat dikaitkan dengan kualiti amanah. Amanah sumber amat penting diuruskan dengan adil dan bijaksana kerana metlamat akhirnya pengurusan sumber tersebut adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia dan alam ini (yanfaunnas). Bayangkan kerosakan yang berlaku kepada manusia dan alam ini adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia yang sudah melampaui batas. Manusia sudah tidak dapat mengimbangi antara sumber alam yang menjadi amanah Allah dengan keserakahan nafsu untuk memperlihatkan tabiat diskriminatif, eksploitatif dan monopoli yang tinggi. Nilai-nilai manusiawi menjadi semakin pupus. Ilmu alat seperti sains dan teknologi digunakan untuk mengukuhkan lagi hegemoni dan menghukum mereka yang berani menentang dan akhirnya dunia diheret dalam kancah globalisasi yang memaksakan proses pemBaratan dalam bentuk ‘penjajahan baru’ yang amat meresahkan banyak pihak khusus nya umat Islam.

 

TAMADUN SILAM DAN PENDIDIKAN INTEGRATIF

 

Tamadun Islam masa lalu terbina atas asas ilmu yang integratif. Ilmu Mengurus Diri dikuasai dengan  baik oleh para ilmuan disamping pengkhususan mereka dalam bidang-bidang tertentu untuk mengurus sistem. Pusat-pusat ilmu subur tumbuhnya dan banyak kepakaran dalam bidang-bidang sains dan teknologi dikuasai hingga menyebabkan ilmuan Eropah datang ke Cordova dan Andalusia untuk melakukan penerokaan ilmu orang-orang Islam dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa-bahasa yang lain. Menfaat penerokaan dan penterjemahan menyumbang ke arah pembangunan Eropah dalam bidang matematik , perubatan, teknologi dan lain-lain. Eropah dan Barat terhutang ilmu kepada tamadun Islam dan kesuburan tamadun Barat tidak boleh menafikan kekuatan ilmu orang-orang Islam yang dipelajarinya.

 

Dalam masa yang sama sejak awal perkembangan tradisi keilmuan sikap terbuka terhadap tamadun pihak lain sentiasa menjadi amalan di kalangan ilmuan tersohor. Di suatu peringkat di zaman Abassiyyah umpamanya usaha penterjemahan berlaku dengan aktif melambangkan keunikan Baitul Hikmah melakukan usaha-usaha besar menterjemahkan tulisan  Aristotle, Socrates dan Plato ke dalam bahasa Arab. Usaha ini memberikan faedah berbanding yang unik untuk ilmuan Islam mengetahui kekuatan tamadun Greek dan Yunani itu. Hal yang sama juga dilakukan oleh al Biruni dan al Khawarizmi iaitu memenfaatkan penggunaan   angka di India dengan memperkenalkan konsep sifar yang menyebabkan berkembangnya ilmu matematik disamping genius al Khawarizmi memperkenalkan konsep Algebra, Troginometri dan Algorithem yang begitu unggul kesannya sehingga ke hari ini.

 

Dalam masa yang sama ilmuan Islam seperti Ibn Sina mendukung jiwa tadabbur dengan melakukan penerokaan terhadap ilmu perubatan. Kitab besarnya dalam bidang perubatan  Kanun fit Tib atau Tatacara Perubatan digunakan selama lebih lebih 500 tahun sebagai bahan rujukan ilmu perubatan di Eropah. Begitu itu ilmuan Abbas ibn Firnas menghasilkan kajian tentang ilmu mesin terbang, al Zahrawi dalam bidang pembedahan, Ibn Haitam dalam bidang kepakaran mata, Ibn Nafis dalam bidang kajian darah dan ramai lagi yang menekuni bidang kajian yang mendalam tentang ilmu sains, matematik dan teknologi.

 

Menariknya bila kita mengkaji kekuatan masa silam menemukan umara’  dan ilmuan, ulama’ dan karyawan-seniman, ulama dan ilmuan dalam diskusi ilmu yang amat menarik sehingga lahirnya tradisi kajian dan kecendiakawanan yang mampu memberi warna tamadun yang amat bermakna bagi umat Islam dan umat manusia. Dalam masa pemerintahan Harun ar Rashid , al Makmun, al Mansur umpamanya, ilmu matematik, sains dan perubatan berkembang amat pesat. Al Mansur pada zamannya mewujudkan konsep ‘ mathematician court’ mengundang pakar-pakar matematik berbincang dan mengembangkan disiplin tersebut ke arah aplikasinya yang lebih maju. Hasilnya banyak kajian dilakukan, formula di hasilkan dan buku-buku mengenainya ditulis. Tradisi ini merintis tradisi hadhari yang amat dibanggakan dan menyumbang kepada tradisi sains Barat.

 

Kekuatan tradisi ini terbina hasil adanya pendekatan integratif ilmuan Islam memenfaatkan elemen SIGNS dan SCIENCE atau pertunjuk dan kajian sebagai formula menarik menghasilkan ilmuan-saintis yang dekat dengan Tuhannya dan hasil karyanya menggambarkan ilmu yang didukung oleh kekuatan nilai. Ibn Sina dan al Khawarizmi umpamanya hafaz Quran pada tahap umur yang awal iaitu tujuh dan dua belas tahun. Kemudian mereka menguasai pelbagai bahasa penting dunia sebagai jendela menerokai ilmu-ilmu berbanding. Kedua-dua ilmuan tersohor ini kemudiannya mendalami bidang falsafah yang dirasakan penting untuk mengetahui hikmah disebalik sesuatu atau kejadian. Kemudian tumpuan mereka ialah mengkaji tentang alam, khususnya ilmu bintang atau astronomi. Kekuatan kajian itu membolehkan mereka mengkaji ilmu matematik dan sains dan akhirnya Ibn Sina unggul dalam bidang Perubatan dan al Khawarizmi unggul dalam bidang matematik. Pendekatan Ibn Sina, al Khawarizmi dan ramai ilmuan lain adalah gambaran tentang kepentingan agama dan sains yang menjadi asas integratif perkembangan ilmu dan tamadun pada masa lalu.

 

Di dalam al Quran terdapat hampir 200 ayat khusus tentang sains. Kemampuan saintis Islam melakukan tadabbur dan tafakkur menyebabkan terbangunnya tradisi sains dan teknologi dalam Islam. Maksud ayat-ayat Allah atau ayatollah tidak hanya termuat dalam al Quran secara tekstual atau dalam bentuk kitab. Alam ini dengan segala keunikannya terkandung pertanda atau pedoman tentang kebesaran dan keperkasaan Allah. Al Quran menyebutkan tentanggunung-gunung sebagai pasak-pasak bumi (memberikan perimbangan), bintang-bintang yang dikendalikan dengan teratur dan tertib, silihgantian siang dan malam, diturunkan hujan yang menyuburkan pokok dan buahnya menjadi sumber rezeki untuk manusia adalah antara contoh yang amat saintifik bagi keperluan kajian dan renungan manusia. Bagi yang beriman pengkajian tentang ayat-ayat Allah yang terbentang di alam nyata membawa kedekatan manusia kepada Khaliq. Memutuskan kajian saintifik dengan hudan atau pertunjuk dari Allah bakal menghasilkan saintis yang kufur rahmah dan ni’mah dan akhirnya akan kehilangan arah dalam memahami faktor kejadian dan kaitannya dengan Pencipta. Ilmu sains akan menjadi ilmu mengurus sistem yang sekular dan mengukuhkan lagi kesombongan manusia terhadap kekuasaan teknologi yang banyak meranapkan fitrah keinsanan.

 

PENDIDIKAN NEGARA KINI DAN ISU INTEGRASI

 

Sistem Pendidikan di negara kita tidak dapat mengelak dari mengalami perubahan apabila kemerdekaan dicapai. Sebelum merdeka, dikotomi pendidikan umat Islam amat nyata dimana dipihak umat Islam banyak menumpukan pendidikan Islam di pondok-pondok dan madrasah bagi menentukan kesinambungan pendidikan Islam di kalangan anak-anak mereka. Sistem arus perdana banyak meraikan keperluan dipihak penjajahan.

Apabila Akta Pendidikan 1961 digubal, pengajaran subjek Agama Islam mula diperkenalkan secara formal. Di awal tahun-tahun 70’an sehingga kini kesedaran keagamaan di kalangan orang Melayu semakin meningkat. Kegiatan dakwah dari kerajaan , badan-badan bukan kerajaan dan individu semakin nyata. Dalam banyak keadaan samada dalam Seminar atau pun Bengkel, Islam tidak hanya dibicarakan sebagai agama mengurus diri sahaja tetapi pemikiran hadhari tentang Islam sebagai Deen iaitu Suatu Cara Hidup mula berkembang subur. Kecenderungan melihat Islam sebagai sumber ketamadunan menyebabkan sistem pendidikan negara memberikan respon yang positif terhadap kebangkitan ini.

 

Pada tahun 1987, sistem pendidikan negara mempunyai Falsafah Pendidikan Negaranya yang amat unik dan pendekatan Sepadu Dalam Pendidikan mula diperkembangkan. Metlamat menghasilkan ‘insan seimbang dan harmonis’ menjadi tunjang falsafah dan pendidikan Islam mula mendapat dukungan nyata dengan terbinanya berpuluh-puluh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Pusat-pusat Tahfiz, pengenalan subjek Tasawwur Islami, al Quran dan Sunnah, Bahasa Arab Tinggi, Syariyyah Islamiah, Asas Fardhu Ain dan penekanan kepada pendidikan Adab sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Dalam masa yang sama pendidikan swasta yang bercorak  agama tumbuh dengan banyaknya. Sekolah Agama Rakyat berkembang subur bersama-sama Maahad Tahfiz di seluruh negara. Minat umat Islam terutama kelompok Menengah Melayu terhadap aliran ini amat nyata.

 

Puncak daripada proses ini ialah penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1983, Kolej-Kolej Islam Negeri-Negeri , Pengenalan subjek Tamadun Islam di IPTA dan yang terakhir ialah penubuhan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Penubuhan institusi dan subjek Tamadun Islam di IPTA cuba mengukuhkan lagi perspektif integrasi ilmu iaitu Ilmu Mengurus Diri disamping Ilmu Mengurus Sistem. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia umpamanya menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab disamping memperkenalkan Subjek Bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar di 100 negara luar. UIAM juga mengambil pendekatan integratif dengan mengemukakan konsep Major dan Minor, Double Major dan juga Double Degree dalam program akademiknya. Suatu program menarik yang cuba dibuat oleh UIAM dengan pihak JAKIM (Darul Quran) dengan kerjasama JPA dan Kementerian Pelajaran ialah Program Tahfiz al Quran selama 18 bulan di kalangan pelajar-pelajar terpilih yang kemudiannya akan disalurkan ke Kuliyyah Perubatan, Farmasi, Sains, Kejuruteraan, ICT dan lain-lain. UIAM juga menawarkan pelajar-pelajar lulusan Institut Tahfiz di seluruh negara dengan program pra-diploma dalam pelbagai bidang pengajian.

 

Hal yang sama juga sedang dilakukan oleh KUIM dan Kolej-Kolej Islam Negeri-Negeri dengan integrasi ilmu supaya lulusannya nanti mempunyai kemampuan tentang kefahaman Islam yang baik dan tidak menafikan kepentingan ilmu-ilmu pengurusan, perakaunan, ekonomi, ICT, sains dan teknologi. Pendekatan ini bakal melahirkan sifat-sifat hadhari dalam proses menghasilkan sumber tenaga manusia yang diharapkan berperanan dengan berkesan dalam sistem arus perdana nanti.

 

Oleh itu pendekatan integratif dalam sistem pendidikan negara sewajarnya menyeluruh disetiap peringkat baik di peringkat formal, non-formal (swasta) mahupun di peringkat informal. Metlamat Wawasan 2020 negara Malaysia ialah untuk melahirkan masyarakat maju berasaskan acuan kita sendiri. Integrasi ilmu dan pendidikan, integrasi nilai, etika dan ilmu adalah acuan terbaik membentuk masyarakat hadhari yang mampu memenafaatkan faedah berbanding dari faktor luar lingkungan disamping unggul dengan kekuatan nilai dan etika sendiri. IPTA dan IPTS umpamanya harus lebih integratif program pendidikannya kerana sumber tenaga manusia yang dilahirkan bakal menjadi tenaga penting dan proses pembangunan negara maju. Pendekatan integratif tidak hanya  di sekitar integrasi disiplin yang pelbagai saja tetapi dalam konteks pembinaan masyarakat hadhari aspek nilai dan etika sewajarnya mendasari maksud integrasi itu sendiri.

 

REALITI MASYARAKAT MAJMUK

 

Warganegara Malaysia terdiri dari masyarakat berbilang kaum, kepercayaan, fahaman dan juga anutan. Kepelbagaian adalah sesuatu yang unik kerana ia membuka jalan memperkongsi dan muafakat. Meskipun adanya kepelbagaian dan kelainan bagaimana cita-cita membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju berasaskan acuan sendiri dapat dbentuk dengan bijaksana. Antara faktor kebijaksanaan yang boleh dipupuk dan disuburkan ialah keutamaan terhadap nilai-nilai yang bermenafaat serta etika tinggi dan kemanusiaan telus supaya perbedaan dan kelainan yang ada tidak menjadi penghalang terbentuknya masyarakat beradab dan beretika selari dengan cita-cita masyarakat hadhari.

 

Pada prinsipnya setiap warganegara memerlukan kualiti kebaikan dan kesalingan dalam melakukan interaksi dan komunikasi dalam proses membangun diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kualiti kebaikan seperti jujur, ikhlas, amanah, adil, timbangrasa, bijaksana, tolakansur adalah antara nilai-nilai yang fitrah sifatnya dan diinginkan oleh setiap orang. Soalnya bagaimana dalam tradisi anutan sesuatu kepercayaan yang berbeza, cara hidup yang berbeza mampu disaring saripati nilai yang memiliki unsur-unsur bersama, sejagat dan murni dapat diperkongsi tanpa menjejas aqidah seseorang penganut atau wujud pemaksaan yang menyebabkan wujudnya rasa penolakan dari penganut yang lain.

 

Dalam sistem pendidikan kita, kurikulum yang integratif elok digubal dengan memasukkan nilai-nilai sejagat, nilai-nilai bersama dan nilai-nilai murni secara bijaksana dan kreatif supaya ilmu yang terbentuk tidak sifatnya bebas nilai. Nilailah merupakan piawai yang berguna memandu manusia samada menjadi baik atau sebaliknya. Ilmu tanpa nilai lebih bersifat utilitarian dan tidak membantu membentuk sifat-sifat mulia seseorang. Pendidikan Islam yang diajarkan kepada pelajar-pelajar Islam harus dilihat sesuatu yang positif kerana sekiranya akhlak pelajar-pelajar Islam terbentuk baik, ianya adalah baik untuk masyarakat Malaysia. Hal yang sama juga pendidikan etika kepada pelajar-pelajar Bukan Islam adalah sesuatu yang wajar kerana sekiranya pelajar-pelajar Bukan Islam mempunyai kualiti etika yang tinggi, ianya adalah berguna untuk masyarakat yang majemuk sifatnya.

 

Walaupun pada masalalu usaha dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran untuk melakukan integrasi melalui sistem, kurikulum dan juga subjek, integrasi yang lebih bermakna belum lagi wujud. Banyak senstiviti dan rasa curiga apabila sesuatu langkah ke arah integrasi dilakukan. Ini tidak bermakna tidak ada jalan keluar dapat dicari. Tradisi Islam umpamanya menganjurkan kaedah ‘litaarrafu’ iaitu tradisi kesalingan yang sentiasa terbuka untuk mempelajari dan memperkongsi nilai dan perkara-perkara baik yang ada pada budaya dan tamadun orang lain. Sekiranya tradisi memperkongsi ini dapat disuburkan dengan bijaksana dan jujur, suasana baru boleh wujud dimana wujud keyakinan tentang keperluan bersama nilai-nilai murni dan baik bagi membentuk peribadi mulia dan beretika tinggi. Tradisi ini amat dituntut untuk disuburkan supaya setiap warga kita sentiasa mementinghkan nilai-nilai baik dan amanah yang tinggi supaya sebarang interaksi yang bersifat kemasyarakatan, pendididkan dan ekonomi berlaku secara sihat atas rasa mahabbah dan kepercayaan.

 

REALITI PENDIDIKAN ISLAM DAN PENDIDIKAN MORAL

 

Sejak tigapuluh tahun yang lalu keperluan ibubapa terhadap pendidikan Islam amat memberangsangkan. Ada kebimbangan di kalangan ibubapa bahawa pendidikan yang tidak dtunjangi dengan akhlak dan nilai ianya bakal menghasilkan pendidikan yang tidak menepati pembangunan potensi insani yang holistik. Ini telah menyebabkan tumbuhnya pendidikan Islam yang bercorak swasta seperti pondok, madrasah, maahad tahfiz, sekolah agama rakyat disamping pendidikan formal yang ditawarkan oleh kerajaan.

 

Dalam masa yang sama Pendidikan Moral telah ditawarkan kepada pelajar-pelajar Bukan Islam dan ianya amat terdedah kepada kritik di kalangan  banyak pihak. Usaha sedang dijalankan bagaimana kurikulum pendidikan moral mengambil pendekatan integrative dan para gurunya dilatih supaya kemampuannya lebih professional.

 

Bagi keperluan membangun masyarakat hadhari, sistem pendidikan Islam baik yang formal dan tidak formal memerlukan tinjauan semula yang serius dan kurikulum, metodologi dan pengajar Pendidikan Moral memerlukan tinjauan yang tulus seperti kepentingan nilai dan etika berlangsung kepada semua murid dan pelajar. Dalam masa yang sama pendidikan Tamadun Islam yang sedang berjalan serta Dailog Peradaban di peringkat IPTA harus diperluaskan di semua IPTA dan juga di peringkat IPTS secara terancang dan sungguh-sungguh.

 

PENDIDIKAN ISLAM DAN J-QAF 

Di peringkat formal, pendekatan integratif dalam Pendidikan Islam memerlukan asas dan kaedah yang lebih jelas dan jitu. Pendekatan J-QAF umpamanya tidak saja menekankan pentingnya ketrampilan dan ketatacaraan dipelajari tetapi bagaimana dapat disuburkan pemahaman tentang falsafah, hikmah dan makna disebalik pendidikan Jawi, al Quran dan juga Fardhu Ain supaya pendidikan kemahiran Jawi , al Quran dan Asas Fardhu Ain dapat membentuk aqidah, pemahaman tentang makna ibadah yang sebenar, disamping terbentuknya akhlak contoh di kalangan pelajar-pelajar yang melambangkan wujudnya kesan penghayatan yang baik.

 

Isu kesan penghayatan sering menjadi isu yang terus berbangkit di kalangan stakeholders atau pihak-pihak yang merasakan isu pendidikan adalah tanggungjawab bersama. Pengajaran Pendidikan Islam  tidak sama dengan pengajaran subjek-subjek kemanusiaan seperti bahasa, sejarah dan tidak juga serupa pendekatannya dengan subjek-subjek sains tulin seperti Fizik, Kimia dan Biologi. Faktor pendidikan agama banyak yang menyentuh tentang faktor-faktor ghaibiyyat. Mendidik konsep Arqanul Iman atau Rukun Iman umpamanya memerlukan pendekatan yang sifatnya rabbaniyyah dan dalam masa yang sama menghubungkan faktor-faktor alamiah sebagai sumber penting membawa keinsafan kepada pelajar-pelajar tentang Kebesaran dan Keperkasaan Allah sebagai Pencipta manusia dan juga alam ini.

Bila kita mengajar anak-anak tentang al Quran umpamanya, fokus tidak harus tertumpu dari sudut pembacaan atau tasmiknya saja. Fokus juga harus diberi tentang asas-asas ilmu yang terkandung dari kalimah Allah itu supaya darinya memungkinkan para pelajar dapat dihubungkan dengan al Quran sebagai sumber pertunjuk dan hikmah. Di sebalik pengajaran al Quran terdapat falsafah dan hikmah yang tinggi kerana al Quran adalah sumber pedoman memandu manusia ke arah kecemerlangan.

 

Umumnya pendekatan yang di ambil dalam pendidikan Islam ialah secara priskriptif. Pengajaran dan pembelajaran tidak hanya berkisar di sekitar isu know-how  atau ‘tahu bagaimana’ tetapi juga mestilah dalam konteks know-what atau ‘tahu apa’. Dalam bahasa yang mudah mengajar ilmu-ilmu Islam, tidak saja memberi kesan ingatan dan hafazan tetapi juga kesan penghayatan.

 

Dalam tradisi pengajaran-pembelajaran Islam ada empat faktor yang perlu diambil kira bagi menimbulkan keberkesanan dalam penghayatan;

 

Faktor faham atau kefahaman

Faktor pemikiran atau artikulasi

Faktor semat atau titip atau internalisasi

Faktor hayat atau amali

Mendidik para pelajar dengan perspektif aqidah, syariyyah, adab, bacaan, hafazan dan ingatan atau ketatacaraan memerlukan proses faham. Belajar sesuatu berasaskan konsep faham memerlukan asas rasional yang meyakinkan . Umpamanya bila mengajar Arqanul Iman, para pelajar di ajak keluar bilik darjah untuk melihat alam, persekitaran, langit dan matahari supaya darinya para pelajar diberi fahaman yang mudah tentang kebesaran Allah. Para pendidik cuba menghubungkan faktor lalu-lintas di jalan raya yang memerlukan pemandu, faktor langit yang tidak bertiang dan bertepi, faktor matahari yang beredar, faktor pokok yang tegak subur dengan akar-akar yang tidak kelihatan di perut bumi dengan faktor sekolah yang terbina dengan tiang dan dinding dan faktor bintang-bintang yang bergerak dengan teratur adalah gambaran tentang kebesaran Allah hingga akhirnya murid-murid faham tentang faktor ghaibiyyat yang dikaitkan dengan alam nyata betapa Maha Berkuasanya Allah mengaturkan alam ini dan betapa kekurangan yang ada pada manusia mengurus kehidupan ini.

 

Bila kefahaman sudah berlaku, para pelajar diajak berfikir dengan mudah tentang hubungan alam dan manusia dan hubungan alam dengan Pencipta. Manusia tidak ada campurtangan dalam menghidupkan ikan-ikan di laut dan unggas-unggas di hutan, manusia tidak mampu menggerakkan angin dan awan supaya turunnya hujan, membasahi bumi, menumbuhkan pokok bagi menghasilkan sumber rezeki bukan saja untuk manusia tetapi juga makhluk-makkhluk yang lain. Allahlah kuasa yang Maha Perkasa menjadikan semua yang disebutkan.

 

Faktor ketiga yang sangat penting ialah kesan penyerapan proses faham dan fikir serta rasa terhadap akal dan hati. Proses internalisasi ini membolehkan kesan yang lebih mendalam kepada pelajar-pelajar. Sekiranya pembelajaran hanya memberi kesan ingatan saja dan tidak memberi kesan rohaniah yang berasaskan daya taakulan yang boleh dilihat dan dirasa, pengajaran-pembelajaran tidak boleh memberi persepsi dan fahaman yang berkesan terhadap para pelajar.

 

Yang nyata ialah amalan, tabiat dan tingkahlaku seseorang pelajar bergantung setakad minda kefahamannya ada, fikirnya meningkat dan hatinya tersentuh dengan kupasan dan huraian, analisis dan unjuran hingga akhirnya ia membawa kesan amali atau pun penghayatan.

 

Mendidik para pelajar dengan aspek-aspek pendidikan Islam ialah mendidik mereka mengenal tentang prinsip-prinsip dan ruh Islami. Al Quran memberikan kita antara lain prinsip-prinsip tentang sesuatu, batasan baik dan buruk, kisah-kisah untuk dijadikan ibrah, khabar gembira dan peringatan supaya manusia terus berada dalam keadaan fitrah dan risalah nubuwwah atau kenabian menterjemahkan dalam bentuk amali tentang prinsip dan ruh Islami yang Quranik.

 

Dalam menghadapi cabaran masakini yang amat penting dididik ialah prinsip-prinsiup aqidah, syariyyah, adab, fiqah, seerah, akhlak dan asas tafasir yang memberikan mereka ruh Islami. Manusia hari ini hidup dan dewasa dalam situasi yang pantas berubah. Tetapi bagaimana faktor perubahan mampu dipedoman dan dipandu dengan faktor-faktor di atas tanpa menolak faktor metodologi , pendekatan atau strategi boleh berubah asal saja ia tidak lari dari maqasid aqidah, maqasid syariyyah, maqasid muamalah dan lain-lain yang terdapat dalam Islam.

 

Oleh itu pendekatan pedagogi atau pengajaran-pembelajaran harus membawa bersama-samanya falsafah, hikmah, nilai disebalik sesuatu yang diajarkan kepada para pelajar. Mendidik mereka dengan tatacara wudhuk dan solat umpamanya sekaligus mendidik mereka tentang faktor yang lebih rohaniah sifatnya. Membasuh muka umpamanya tidak saja mengajar mereka membersihkan anggota muka seperti mata , hidung dan mulut tetapi pada alat ini terletak peranan yang amat penting dalam pancaindera manusia yang berperanan melihat, menghidu , merasa dan berkata-kata supaya kesan zahiri dan batini dapat dihubung sama. Bila pelajar-pelajar melakukan solat hubungkan kefahaman ruku’ dan sujud dengan fahaman jiwa kehambaan iaitu mendidik rohaniah mereka untuk memiliki sifat tunduk, patuh, akur dan taat kepada Allah yang hikmahnya berpulang kepada manusia sendiri.

 

Bila mengajar mereka tentang al Quran berikan keinsafan bahawa al Quran adalah sumber ilmu, sumber pertunjuk, sumber pedoman bagi manusia. Manusia tanpa pertunjuk akan hilang suluh dalam hidup dan manusia tanpa pedoman Allah akan hilang arah dari kebenaran. Dan kekuatan ulama-ilmuan silam ialah keupayaan mereka mengintegrasikan suluh hikmah dengan ilmu akliah hasil adanya daya tadabbur yang tinggi terhadap alam ciptaan Allah ini.

 

Dalam masa yang sama harus dicari kebijaksanaan bagaimana asas-asas nilai mampu mendasari subjek-subjek yang lain supaya elemen-elemen aqidah, syariyyah, seerah dan sunnah dapat diterapkan dengan bijaksana dan menghasilkan pelajar-pelajar yang bakal memiliki tasawwur hadhari dalam proses pengilmuan dan pendidikan. Strategi jangka-panjang ini amat penting bagi menghasilkan pelajar-pelajar yang berfikir berasaskan nilai dan memiliki kekuatan ilmu dan ketrampilan berasaskan nilai.

 

Di peringkat swasta, usaha yang serius di kalangan semua pihak harus segera  dilakukan samada diperkukuh dan disusun semula sistem yang sedia ada supaya ianya menepati maksud pendidikan Islam yang berjiwa hadhari. Dalam ertikata lain kemudahan prasarana yang baik, pendidik yang terlatih, kurikulum yang seimbang dan sepadu, metodologi pengajaran dan pembelajaran yang mendukung maksud ilmu dan amal harus menjadi agenda utama penyusunan semula sistem tersebut. Dalam masa yang sama kajian terancang harus dibuat terhadap pendidikan agama pagi atau petang yang dihadiri oleh pelajar-pelajar.

 

Pendekatan dua sesi ini memerlukan kajian dari sudut perulangan bahan yang diajar, kecukupan masa bagi murid-murid untuk melakukan ulangkaji dan latihan dan kesuntukan masa mereka untuk meni’mati keperluan naluri, bakat dan kegiatan-kegiatan sihat. Kepadatan masa sebahagian besar murid-murid Islam boleh menyebabkan hilangnya tumpuan dan keberkesanan. Yang penting ialah bahan yang diajar sifatnya melengkapi dan diterima dengan kesan penghayatan yang baik. Malah tidak keterlaluan sekiranya pihak kerajaan memikirkan secara serius kaedah satu sesi menggabungkan pendidikan formal dan tidak formal supaya masalah biaya tidak lagi berbangkit dan kurikulum yang diajarkan sifatnya lebih integratif. Kaedah ini boleh membantu pelajar-pelajar Islam hadir dalam sistem perdana dan membolehkan kualiti pendidikan sejajar dengan  keperluan masakini dan masadepan yang amat mencabar.

 

Hal yang sama harus berlaku di kalangan pelajar-pelajar Bukan Islam yang berkaitan dengan subjek Moral. Oleh kerana konsep Etika dapat diterima oleh ramai pihak khususnya masyarakat Bukan Islam, mengapa tidak Pendidikan Etika menggantikan subjek moral. Konsep etika diterima sebagai suatu konsep yang lebih universal. Sekiranya Pendidikan Etika itu diterima, langkah meninjau semula kurikulum, metodologi, kepakaran mendidiknya harus dilakukan. Kurikulum etika harus merangkumi nilai-nilai agama yang mendukung ciri-ciri universal, nilai-nilai tradisi dan falsafah keagamaan yang bermenafaat dan nilai-nilai moral yang sifatnya merentasi. Mereka yang pakar dan memiliki keahlian dalam lapangan masing-masing harus diundang menggubal sukatan dan kandungan yang lebih memberi makna dan kesan terhadap penyuburan etika dan amalan yang baik. Para pendidiknya harus dilatih dengan metodologi yang memikat tumpuan murid-murid dan menjadikan Pendidikan Etika diminati dan menjadi asas pembentukan moral dan nilai-nilai murni  di kalangan mereka disamping menjadi syarat dalam peperiksaan.

 

Begitu juga pendidikan Tamadun Islam dan Dialog Peradaban harus diperkenal dan diperkukuhkan di kalangan pelajar-pelajar IPTA dan IPTS supaya kefahaman pelajar tentang elemen-elemen hadhari wujud dalam proses pengajian yang mereka lalui. Tinjauan yang dibuat di Universiti Malaya, pendidikan Tamadun Islam dan Dialog Peradaban memberi kesan yang amat baik bagi pelajar-pelajar Bukan Islam memahami Islam dan tamadunnya dan baik bagi pelajar-pelajar Islam memahami faktor-faktor peradaban lain yang berlaku disekitarnya. Cara begini membolehkan pemahaman terhadap  silang-tamadun (cross-cultural understanding) berlaku dengan baik berasaskan pendekatan ilmu. Pendekatan hadhari ini amat selari dengan pengalaman ilmuan Islam pada masa lalu yang memenafaatkan makna ‘ litaarrafu’ atau budaya kekenalan secara bijaksana dengan memperkongsi aspek-aspek hadhari yang positif daripada aspek-aspek falsafah, sains dan teknologi orang-orang Yunani dan Greek, orang-orang India dan juga Cina.

 

CABARAN GLOBALISASI

 

Globalisasi adalah suatu proses pensejagatan berasaskan hegemoni Barat dan Kuasa Besar terhadap dunia. Ia adalah pancaran dari puncak tamadun kebendaan Barat yang menjadikan alat teknologi dan komunikasi sebagai teras kepada ‘penjajahan’ bentuk baru. Alat utama yang digunakan ialah teknologi langit terbuka seperti satelit untuk menjadikan pensejagatan lebih berkesan. Kesan yang amat nyata ialah dunia menjadi semakin kecil, penstrukturan sistem, sempadan geo-politik dan budaya akan menjadi lebih terbuka dan gaya hidup masyarakat akan menjadi lebih ‘utilitarian’ coraknya.

 

Metlamat globalisasi ialah untuk melahirkan masyarakat bermaklumat dan berilmu (informative and knowledgeable society) dan kesannya secara langsung akan melibatkan struktur sosio-ekonomi, pendidikan, kebudayaan, multi-media dan usaha penyelidikan dan pembangunan sesuatu negara. Walaupun dari sudut faedah berbanding (comparative advantages) terdapat faktor-faktor menyumbang dalam konteks globalisasi namun dari sudut falsafah dan metlamat globalisasi itu sendiri, ianya boleh menggugat kekuatan asasi sesuatu bangsa atau kelompok seperti sistem nilai, agama, kebudayaan dan cara hidup. Gugatan ini secara jangka panjangnya boleh menghakis jati diri dan jiwa merdeka masyarakat Malaysia, melainkan strategi terancang dapat dilakukan bagaimana perubahan tetap berlaku tetapi dalam acuan sendiri.

 

KESAN TERHADAP PENDIDIKAN

 

Diantara bidang yang ‘immediate’ atau rapat hubungan dengan proses globalisasi ini ialah aspek pembangunan sumber tenaga manusia iaitu proses latihan dan pendidikan. Kesan awal dari proses ini ialah penyusunan semula dan penyesuaian kembali sistem pendidikan dunia. Bagi menjadikan metlamat negara maju, model Barat yang menjadikan proses pemaklumatan dan pengilmuan sebagai teras utama, model perisian (softwares) akan menjadi lebih utama dalam strategi pembinaan kurikulum, pembelajaran dan pengajaran. Pendekatan pedagogi lebih banyak memberi peluang kepada murid sebagai pengguna dan guru sebagai fasilitator.

 

Skop penguasaan ilmu dan maklumat akan jauh lebih luas dan pelbagai. Pengguna akan jauh lebih kreatif dan innovatif kerana ketrampilan aspek elektronik dan digital akan memperlihatkan kecanggihan yang nyata samada dalam teknologi komunikasi mahupun bidang-bidang yang lain. Para guru atau pendidik akan didedahkan pelbagai cara memudahkan proses pemindahan maklumat dan pengetahuan berlaku. Para pelajar akan mempunyai pilihan dan akses yang banyak menggunakan pelbagai perisian, jaringan internet dan website yang boleh nmemperkayakan khazanah maklumat. Bentuk maklumat yang boleh diterima melampau batas sempadan budaya setempat, perkembangan sosio-politik setempat malah apa saja yang berlaku di seluruh dunia boleh diketahui dalam masa yang amat singkat kerana peranan alat komunikasi dan telekomunikasi menjadi semakin rapat hubungannya dengan kehidupan manusia.

 

Cara pengajaran dan pembelajaran (modes of teaching-learning) akan bersifat pelbagai. Pendekatan konvensional akan digantikan dengan pengajaran (delivery system) yang berasaskan kaedah elektronik dan telekomunikasi. Pendidikan jarak jauh (distance learning), universiti terbuka (open university) dan pendidikan secara interaktif (interactive education) akan menjadi lebih ketara, pendekatan modular boleh menjadikan peranan guru semakin minimal dan dalam konteks Malaysia peranan Bahasa Melayu akan menjadi lebih tercabar kerana keperluan penggunaan Bahasa Inggeris secara meluas sedang digunakan dalam sistem pendidikan kita.

 

ISU-ISU SEKITAR GLOBALISASI

 

Masyarakat pendidikan diwar-warkan tentang pentingnya  institusi sekolah membina budaya cintakan maklumat. Konsep sekolah bestari (smart school) mula dipopularkan dan akan dikembangkan ke seluruh negara, supaya minda guru dan pelajar disediakan bagi menerima proses globalisasi yang sedang berjalan. Program-program yang menawarkan bidang informasi dan telekomunikasi menjadi semakin diminati pelajar malah para pelajar akan menghadapi masalah rendah diri sekiranya tidak tahu menggunakan alat komputer atau wujudnya jurang digital (digital divide) diantara sekolah-sekolah desa dan juga kota.

 

Disamping aspek positif yang disumbangkan oleh teknologi komunikasi dan telekomunikasi (ICT), beberapa isu pokok yang menjadi asas kepada memberi makna kepada pendidikan itu sendiri harus diteliti. Pendidikan dalam faham yang murni tidak hanya sekadar suatu proses memindahkan maklumat dan pengetahuan tetapi ianya suatu proses transformasi (perubahan) diri pelajar. Pendidikan dalam pengertian Islam dan tradisi orang beragama membawa makna yang lebih holistik iaitu membangunkan kecemerlangan akal, sahsiah dan ketangkasan fizikal. Falsafah Pendidikan Kebangsaan bermetlamat untuk membangunkan insan seimbang dan harmonis supaya metlamat pendidikan tidak hanya melahirkan warga yang baik (good citizen)

tetapi juga insan yang berakhlak mulia (good man). Proses mendidik (educating) dan membentuk (nurturing) adalah teras dalam membangunkan manusia. Tradisi Islam menjadikan penitipan adab (inculcation of adab) sebagai metlamat dan proses membangunkan hati (taadib) sebagai teras dalam pembinaan sahsiah dan personalia.

 

 

 

TEKNOLOGI SEBAGAI ALAT

 

Dalam tradisi Islam dan orang-orang beragama, teknologi dalam apa bentuk pun tetap dilihat sebagai alat. Teknologi memudahkan dan mempercepatkan dan ianya bukan metlamat. Sifat teknologi berkembang, produknya kreatif dan innovatif kerana tradisi penyelidikan sentiasa melihat kehadapan. Input-input baru dalam pembangunan teknologi menyebabkan ia mampu masuk ke dalam setiap sektor manusia dan kesannya kepada pengguna amat luarbiasa sekali. Sifat perubahan dan perkembangan teknologi adalah dinamik kerana fokus penyelidikan di Barat amat berkembang sekali. Sebagai masyarakat pengguna, kita sering menjadikan kemajuan Barat sebagai ukuran atau ‘bench-mark’ mengenai mutu dan kreativiti dan kadang-kadang merasakan produk kita tidak memenuhi kriteria piawai dunia (world standard).

 

Dalam dunia pendidikan, kepentingan alat dan metlamat berjalan seiring. Sekiranya teknologi dilihat sebagai alat, ada aspek lain yang lebih penting iaitu membangunkan personalia pelajar supaya peka terhadap pentingnya alat dan dalam masa yang sama tidak mengurangi metlamat pendidikan itu sendiri iaitu membentuk sahsiah dan sistem nilai yang baik supaya disamping kekayaan sumber maklumat dan ketrampilan, ianya sekaligus membangun nilai-nilai murni seperti keikhlasan, kejujuran, amanah, kecemerlangan, ketelusan dan lain-lain.

 

Hal ini menjadi lebih releven kerana aspek keinsanan (humane) dan etika menjadi semakin pupus lantaran pengaruh kebendaan dan hedonisme (berpoya-poya) semakin ketara akibat tarikan penggunakan teknologi letronik dan media cetak yang canggih menyebabkan merosotnya sentuhan keinsanan (human touch). Watak-watak yang robotik dan mekanistik menjadi semakin dominan dan akhirnya manusia akan hilang watak asasi iaitu kemanusiaannya. Umpamanya kejuruteraan genetik yang menjadi asas kepada sains pengklonan walaupun ianya menyumbang dalam beberapa perkara yang memberikan faedah kepada manusia  namun ada kembimbangan pengklonan manusia (human cloning) boleh membawa natijah etika dan kemanusiaan yang negatif.

 

MASYARAKAT HADHARI

 

Pendidikan yang sifatnya integratif adalah amat penting dalam membangunkan masyarakat hadhari. Pada asasnya manusia memerlukan dua bentuk ilmu untuk mengembangkan bakat dan keperluannya. Bentuk pertama ialah ilmu untuk mengurus diri dan bentuk kedua ilmu untuk mengurus sistem. Kalau kita perhatikan dalam sistem pendidikan kita terdapat pendekatan mengukuhkan ilmu-ilmu yang memberikan asas pengurusan diri dan kurang memberikan tumpuan terhadap ilmu-ilmu mengurus sistem. Sebaliknya semakin meluas (terutama di peringkat tinggi) pendidikan yang mengutama ilmu pengurusan sistem dan wujudnya pengabaian bagi pengukuhan ilmu mengurus diri. Dikotomi ini perlu diatasi supaya wujudnya integrasi antara dua keperluan asas ilmu bagi memungkinkan pembangunan holistik pelajar yang menepati  keperluan membina tamadun atau pun mengisi cita-cita masyarakat hadhari. Ilmu untuk mengurus diri pada umumnya merujuk ilmu-ilmu fardhu ain dan ilmu mengurus sistem pada umumnya merujuk ilmu-ilmu fardhu kifayah.

 

Dalam konteks pendidikan dan latihan, ilmu yang integratif amat penting bagi membentuk peribadi yang holistik. Potensi insan yang merangkumi aspek akal, rohani dan jasmani memerlukan olahan dan penyuburan yang seimbang dan harmonis supaya bukan saja para pelajar mempunyai kekuatan berfikir tetapi juga mempunyai keteguhan rohaniah dan ketangkasan jasmaniah. Faktor-faktor ini diakui amat perlu bagi generasi muda menghadapi cabaran globalisasi dan tekanan persekitaran.

 

Meneliti dan melakukan refleksi dan kontemplasi terhadap keupayaan ilmuan Islam pada masalalu membangunkan tamadun, upaya integratif telah menjadikan mereka unggul dan cemerlang. Jiwa tadabbur amat berkembang pada zaman mereka sehingga mampu mengharmonikan ulama dan umara’, ilmuan dan karyawan, ulama’ dan ilmuan walaupun terdapat perbedaan yang sifatnya memperkayakan khazanah tamadun. Barat dan Eropah umpamanya amat terhutang ilmu kepada tamadun Islam. Dengan melakukan refleksi terhadap kejayaan silam memungkinkan kita bersifat proaktif dan kreatif terhadap perubahan masakini. Ianya bergantung kepada keupayaan sistem pendidikan menjadikan pendekatan integratif dalam keilmuan dan ketrampilan berkembang subur. Bayangkan para pelajar yang tidak dapat meni’mati pendekatan integratif secara seimbang dan harmonis tidak akan mampu mengolah perubahan dan pembangunan berasaskan acuan kita sendiri iaitu acuan yang menemukan elemen-elemen hadhari untuk respon terhadap faktor-faktor perubahan terutamanya dari luar lingkungan budaya dan wilayah

pengaruh kita. Kita memerlukan seniman dan karyawan yang insaf tentang kepentingan citarasa hadhari dalam kreativiti supaya elemen-elemen deduktif tidak mengatasi keperluan komersial. Kita mahukan pengiklan yang menampilkan imej mendidik supaya faktor komersialnya diambil kira disamping memikirkan kesan iklan terhadap kanak-kanak dan juga pengguna.

Kita juga memerlukan pemikiran yang melihat teknologi selamanya alat bukannya metlamat. Metlamat penghasilan teknologi canggih bergantung kepada kualiti pengguna dan juga perisian yang dibangunkan. Pemikiran integratif akan mengambil kira keperluan alat dan kepentingan perisian supaya metlamat penggunaan dan pemenfaatan menyumbang ke arah membangunkan mertabat minda dan juga mengukuhkan peribadi. Asas-asas ini sekiranya dapat dilaksanakan dengan bijaksana dan terancang, ianya bakal mencetuskan kecenderungan ke arah pemikiran acuan kita sendiri.

 

MENCARI KEBIJAKSANAAN

 

Meski ada perbahasan atau polimik tentang Islam Hadhari anggaplah ia sebagai perbahasan semantik. Mendukung Islam Hadhari melibatkan faktor strategi, konsep dan juga aplikasi. Islam Hadhari tidak harus dilihat sebagai suatu alat sementara untuk maksud yang terbatas. Islam Hadhari harus dilihat dalam konteks jihad ilmu dan pendidikan yang berterusan. Ia menuntut konsep yang sifatnya mencakupi maksud ketamadunan dalam pembinaan masyarakat dan negara dan ianya menuntut perubahan gradual terhadap sistem.

 

 Islamiphobia atau ketakutan terhadap Islam amat nyata di Barat akibat manipluasi media dan rejim yang berkepentingan terhadap Islam dan umatnya. Peristiwa 11 September 2001 di New York, Amerika Syarikat menjadi titik-tolak yang lebih agresif bagi Barat terhadap Islam dan umatnya. Liberalisasi budaya, agama dan gaya hidup manusia sedang berlaku dengan terancang khususnya dibawah agenda globalisasi. Kecanggihan sistem teknologi komunikasi dan telekomunikasi telah dan sedang digunakan untuk melumpuhkan ruh Islami di kalangan umat. Sesetengah umat Islam memilih jalan terakhir yang kelihatan amat radikal dan ini boleh memburukkan imej Islam di mata umat manusia khususnya di Barat.

 

Umat Islam harus memilih strategi yang betul berasaskan kekuatan ilmu yang integratif supaya kita terus berubah dan membangun tetapi berasaskan acuan kita sendiri Umat Islam harus menginsafi bahawa Allah SWT telah mengurniakan tiga perkara utama untuk keperluan pembangunan dan perubahan.

 

Pertama, sejak tamadun madani diasaskan di Madinah ianya dikembangkan oleh para sahabat, tabie-tabien, ulama dan umara yang memiliki iltizam tinggi sehingga terbentuk tamadun puncak (hadhara :Ibn Khaldun) dan sifat alamiah tamadun ini menepati maksud Deenul Islam dan amat menyumbang kepada tamadun umat manusia.

 

Kedua, Allah mengurniakan jumlah umat yang amat besar  iaitu melepasi 1.3 bilion. Bayangkan reflektif kepada pencapaian silam dengan tekad membangunkan jihad ilmu dan pendidikan, ia bakal membangunkan sumber tenaga manusia yang memiliki keilmuan, kepakaran dan kebijaksanaan untuk memberikan perimbangan pengupayaan yang selama ini meletakkan kita sebagai umat pengguna dan penciplak kepada tamadun Barat.

 

Ketiga, Allah kurniakan di perut bumi di negara umat Islam dengan sumber-sumber hasil bumi yang kaya. Bayangkan sekiranya refleksi terhadap cita-cita hadhari itu tinggi, sumber-sumber ini akan dapat diuruskan dengan bijaksana supaya menafaatnya dapat membangunkan umat Islam dan juga mensejahterakan umat manusia

 

Secara strategik pemikiran ke arah cita-cita hadhari harus ada pada setiap warga kita supaya faktor perubahan dan kemajuan yang amat mencabar kini tidak hanya ditentukan oleh faktor globalisasi semata-mata. Pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan adalah jawapan yang mampu memberikan perimbangan ke arah menghasilkan acuan kita sendiri. Hanya keyakinan yang teguh, iltizam yang tinggi, kejujuran yang jelas, kebijaksanaan yang istiqamah sifatnya  menjadi jalan yang amat terbuka bagi Malaysia membangunkan masyarakatnya  yang hadhari.

 

Islam ialah Islam. Islam tidak datang dalam kekosongan. Wahyu diturunkan oleh Allah SWT merujuk kepada pembangunan rijal atau manusia. Nabi dan rasul silih pergi dan datang. Zaman silih berganti tetapi Islam tetap juga Islam. Pada al Quran terkandung prinsip dan pedoman yang harus diikuti. Pada sunnah Rasul terdapat contoh untuk dijadikan sumber teladanan. Suatu ketika dulu umat Islam pernah membangunkan tamadun. Kemampuan mereka membangunkan tamadun setelah memenuhi syarat keilmuan, kepimpinan, kekuatan rohaniah, melakukan integrasi ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem, jihad dan dakwah yang tinggi.

 

Hari ini umat Islam adalah umat pengguna terhadap tamadun Barat. Umat Islam menjadi umat pinggiran dan mengamalkan ritual tanpa substance (ilmu). Akibatnya proses globalisasi melakukan penjajahan minda dan hati. Oleh itu umat perlu diperkasa semula.

 

Faktor pembangunan rohaniah harus bergerak dengan kekuatan ilmu yang pelbagai dan keupayaan metodologi yang sezaman. Di sinilah pentingnya maqasid syariyyah  diperkasakan secara holistik di mana asas agama, perkembangan akal, memelihara keturunan dan jatidiri dijadikan maslahah perjuangan supaya prinsip keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, pengurusan  negara yang adil dan beramanah, menyuburkan jiwa rakyat yang merdeka, menguasai ilmu pengetahuan, membangunkan ekonomi yang seimbang dan komprehensif, menyuburkan kehidupan yang berkualiti, melakukan pembelaan terhadap kumpulan minoriti dan wanita, pemeliharaan alam tabie dan memperkasa kekuatan pertahanan dalam maksud yang luas menjadi pra-syarat utama mencetuskan pembangunan yang beracuan sendiri menerusi proses menghadharikan umat supaya Islam dan pemeluknya berada dalam tahap mampu berasing, mampu membangun dan mampu berjuang secara jangka panjangnya untuk kesejahteraan umat dan umat manusia.

::PERSATUAN PELAJAR ISLAM, SMK LA SALLE SENTUL, KUALA LUMPUR::                            E-MEL: ppismklasallesentulkl@hotmail.com

::HAKCIPTA TERPELIHARA:: ::DIBANGUNKAN & DI REKA OLEH : KHALIL RAHMAN::

LAMAN WEB INI SESUAI DIPAPARKAN DENGAN RESOLUSI SKRIN 1024X768 MENGGUNAKAN IE 7

PENAFIAN: PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEHILANGAN ATAU KEROSAKAN YANG DIALAMI KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT ATAU GAMBAR - GAMBAR DI DALAM LAMAN WEB INI.