Martin Lings atau Abu Bakar Siraj Al-Din seorang ahli sufi dan penulis berbangsa Inggeris yang memeluk Islam
meninggal dunia pada umur 96 tahun pada 12 Mei 2005. Sepuluh hari sebelum itu beliau telah menyampaikan ceramah di hadapan
3000 orang hadirin di Wembley Conference Centre sempena perayaan Maulidur Rasul.
Beliau pernah memegang jawatan Keeper of Oriental Manuscript and Printed Books di British Museum antara tahun 1970-1974.
Apabila British Library ditubuhkan pada tahun 1973, beliau dan keseluruhan jabatan beliau telah diambil alih oleh British
Library.
Sebelum itu beliau berkhidmat sebagai pustakawan di British Museum yang bertanggungjawab bahagian buku-buku Arab sejak
dari tahun 1955. Di British Library beliau bertanggungjawab secara khusus terhadap manuskrip al-Quran yang tersimpan di situ.
Pada awal tahun sebelum kematiannya beliau telah melawat Mesir, Dubai, Pakistan, dan Malaysia. Beliau dikatakan mempunyai
kenalan dengan tokoh pemikiran Islam di Malaysia.
Martin Lings dilahirkan di Burnage, Lancashire, England pada tahun 1909 dari keluarga Kristian Protestan. Beliau dibesarkan
semasa kecilnya di Amerika Syarikat kerana mengikut bapanya yang bekeria di sana.
Beliau kembali ke England dan mengikuti pengajian di Magdelan College, Universiti Oxford dalam bidang pengajian Inggeris
dan memperoleh ijazah pada tahun 1932.
Selepas tamat pengajian beliau mengajar Bahasa Inggeris di Lithuania dan kemudian menjadi pensyarah dalam bidang pengajian
Inggeris di University Kaunas pada tahun 1935. Semasa pengajian di Oxford beliau amat berminat kepada puisi zan-ian pertengahan
(medieval poetry).
Oleh sebab itu tidak hairanlah beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap kesusasteraan Inggeris terutama hasil karya
Shakespeare.
Kecenderungannya kepada puisi, kesusasteraan dan puisi zanjian pertengahan membuka ruang minda dan hatinya untuk menerima
dan menghargai nilai-nilai agama.
Detik pertama yang mengubah haluan hidupnya apabila beliau mula membaca tulisan seorang ahli falsafah Peranchis beragama
Islam, Rene Guenon (nama Islamnya Syeikh Abdul Wahid Yahya, 1886-1951).
Tulisan Guenon ternyata telah member! kesan yang mendalam kepadanya terutama mengenai pandangannya terhadap agama. Martin
Lings dalam syarahan mengenai Guenon pada tahun 1994 di Princes of Wales Institute, London sendiri mengakui bahawa tulisan
Guenon yang dibacanya pada awal 1930an telah mengubah haluan hidupnya untuk mencari kebenaran.
Beliau memulakan perjalanan rohaninya dengan membuat renungan dan berdoa supaya ditunjukkan jalan yang akan dipilihnya.
Pada mulanya beliau memilih Hindu sebagai jalan rohaninya dan beliau mula belajar bahasa Sanskrit. Namun pada musim luruh
tahun 1937, sesuatu telah mengubah haluan pilihannya daripada Hindu kepada Islam.
Tidak dapat dipastikan apakah faktor yang menyebabkan dia mengubah pilihannya, tetapi dalam artikelnya mengenai Frithjof
Schuon, beliau meyakini kepimpinan Schuon. Frithjof Schuon ialah seorang sarjana metafizik German dan juga Syeikh Tasawuf
yang nama Islamnya, Sheikh Isa Nur al-Din Ahmad (1907-1998).
Pada bulan Januari 1938 beliau telah bertolak ke Basel untuk menyertai kumpulan tasawuf di bawah pimpinan Schuon ini. Semasa
di sinilah beliau memeluk Islam dan meninggalkan pengajian sanskritnya dan mula menumpukan kepada pengajian bahasa Arab dan
Islam.
Pada musim panas tahun 1939 Martin melawat Kaherah, Mesir kerana mahu menziarahi sahabatnya Adrian Paterson dan Guenon
yang menetap di sana. Beliau sudah berhubungan dengan Guenon melalui surat terutama apabila membuat penterjemahan hasil kerja
Guenon ke dalam bahasa Inggeris.
Paterson ialah orang tengah Martin dengan Guenon kerana beliau tidak mahu dihubungi oleh sesiapa kerana mahu menyembunyikan
diri di Mesir. Namun kerana Guenon amat menyenangi Paterson rnaka akhirnya apabila Martin melawat Mesir, mereka bertemu.
Apabila peperangan Dunia Kedua meletus pada tahun itu, Martin tidak dapat pulang ke Eropah dan terpaksa tinggal di Kaherah.
Sahabatnya Paterson meninggal dunia dalam satu kemalangan di Mesir dan Martin telah ditawarkan jawatan pensyarah di Universiti
Kaherah dalam bidang pengajian Inggeris.
Manakala hubungannya dengan Guenon bertambah rapat malah mereka akan saling tukar menukar penulisan masing-masing untuk
dibaca. Mereka juga saling ziarah menziarahi bahkan Martin dianggap sebagai sebahagian daripada keluarga Guenon.
Semasa di Kaherah Martin telah mengambil peluang memahirkan dirinya dalam bahasa Arab terutama apabila beliau berhubungan
dengan isteri Guenon, Fatimah.
Semasa di Kaherah, Martin menghasilkan karyanya yang pertama bertajuk The Book of Certainty: The Sufi Doctrine of Faith,
Wisdom and Gnosis diterbitkan oleh Rider, London pada tahun 1952.
Martin amat mengagumi aspek Sufisme dalam Islam dan dikatakan menunjukkan minat yang mendalam terhadap konsep universalism
dalam Islam yang dipelopori Guenon. Konsep inilah yang pertama membuka minda dan hati Martin untuk menempuh jalan rohani yang
dipilihnya.
Tidak syak lagi apabila beliau sudah nampak kebenaran Islam, maka beliau tidak lagi berpaling dan meneruskan jalan ini
hingga ke akhir hayatnya.
Pada tahun 1944 Martin mengahwini Lesley Smalley yang dikenalinya sejak dari kecil dan mereka tinggal di Mesir di sebuah
kampung berhampiran piramid. Namun ketenangan hidup mereka di sana terganggu kerana krisis politik di Mesir.
Kebangkitan semangat nasionalisme Arab dan penggulingan kerajaan beraja Mesir oleh Gamal Abdul Nasser pada awal tahun 50-an
menyemarakkan dasar pemerintahan anti Eropah. Beliau dan isteri terpaksa pulang semula ke London pada tahun 1952 kerana keganasan
yang dilakukan terhadap rakyat Eropah di Mesir.
Di London beliau tidak mempunyai apa-apa pekerjaan. Isterinya seorang ahli psikoterapi terpaksa bekerja semula. Untuk tidak
membuang masa, Martin mengambil keputusan untuk belajar semula, dan kali ini dalam bidang pengajian Arab.
Bermula dengan BA in Arabic Studies, beliau berjaya meraihkan PhD dalam bidang Tasawuf dengan tesis bertajuk The Spritual
Heritage and Legacy of Shaikh Ahmad Al-Alawi: A Twentieth Century Muslim Mystic daripada School of Oriental and African Studies,
Universiti London pada tahun 1959. Tesis ini diterbitkan sebagai buku oleh Alien & Unwin pada tahun 1961 dan diterbitkan
dalam bahasa Arab oleh Dar al-Kitab al-Jadid, Beirut pada tahun 1973.
Selain itu banyak lagi buku yang dihasilkannya, iaitu Ancient Beliefs and Modern Superstitions diterbitkan oleh Perennial
Books London (1964), What is Sufism diterbitkan oleh Unwin, London (1975), Muhammad: His Life Based On The Earliest Sources
diterbitkan oleh Unwin, London (1983) The Eleventh Hour: The Spiritual Crisis of the Modern World in the Light of Tradition
and Prophecy diterbitkan oleh Quinta Essentia, Cambridge (1989) dan yang terkini Shakespears Window into the Soul: The Mystical
Wisdom in Shakespeares Characters (2006).
Beliau juga banyak menyumbang kepada journal dan ensiklopedia mengenai agama dan perbandingan agama. Martin juga pernah
menulis kata-kata aluan dalam terjemahan buku tasawuf bertajuk al-Hikam karangan hamka yang amat terkenal di kalangan masyarakat
Melayu kita di Nusantara.
Tulisan beliau di atas hampir kesemuanya telah dicetak semula terutama oleh Islamic Text Society (ITS), Cambridge. Sebahagiannya
telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing seperti Arab, Perancis, dan Turki.
Kebanyakan tulisannya ditujukan kepada sekelompok kecil pembaca melainkan Muhammad: His Life Based On The Earliest Sources
yang dikatakan buku terbaik dalam bahasa Inggeris yang menerangkan sejarah hidup Baginda Rasulullah s.a.w.
Buku ini mendapat liputan meluas dan menarik perhatian ramai dan telah terjual jutaan naskhah. Di samping sebagai seorang
penulis dan ahli tasawuf, beliau juga mempunyai minat berkebun terutama menanam pokok bunga di rumahnya di Kent, England.
Martin Lings meninggalkan seorang isteri apabila beliau telah pergi untuk bertemu Tuhannya. Semoga Allah mencucuri rahmat
ke atas rohnya. Amin...
:: Kembali Ke Portal Artikel ::